Nur Nabilah Mohd Azhar sedang menjalani latihan amali selama enam bulan di negara berkenaan. - Gambar Astro AWANI

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memudah cara segala urusan Nur Nabilah Mohd. Azahar yang terlibat dalam kemalangan di Caribbean, Rabu lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ia termasuk usaha membawa pulang dan tuntutan insurans Nur Nabilah yang juga pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) UUM.

Sebagai langkah segera, Noraini berkata, UUM akan membiayai pembayaran awal kos rawatan hospital Nur Nabilah sebelum tuntutan insurans perlindungan penuh dibuat.

Pada masa sama, beliau memaklumkan telah mengarahkan UUM untuk menyelaras urusan membawa pulang pelajar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela bergantung kepada tahap kesihatan dan kebenaran hospital di Curacao.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad GAMBAR: Abd Razak Aid

“KPT dukacita atas berita kemalangan yang melibatkan Nur Nabilah ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean.

“Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan itu mengalami kemalangan yang menyebabkan perlunya pembedahan kecemasan dibuat bagi menyelamatkan nyawanya.

“Beberapa pembedahan susulan dijangka dijalankan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: Pelajar wanita UUM putus kaki terkena kipas bot sewaktu latihan amali menyelam di Caribbean

Nur Nabilah, 25, yang sedang menjalani latihan di pusat latihan Dive Division Curacao putus kaki kanan selepas terkena kipas bot dalam kejadian pada Rabu lalu.

Dia kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Curacao, Venezuela.

“Penuntut tahun akhir Sarjana Muda STHEM itu sudah tiga bulan berada di negara itu sejak berlepas ke sana pada 24 September lalu.

Menurut bapa mangsa, Mohd Azhar Zakaria, 58, kaki kanan anaknya itu terpaksa dipotong manakala lengan kanannya pula retak.

Menurut laporan Astro Awani, anak bongsu dari empat beradik itu sedang menjalani latihan amali selama enam bulan di negara berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram