UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) akan menghantar waris kepada pelajarnya, Nur Nabilah Mohd. Azahar yang terlibat dalam kemalangan ke Curacao, Kepulauan Caribbean, Jumaat ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, universiti berkenaan bersetuju menghantar wakil keluarga setelah mengadakan perbincangan bersama ibu bapa Nur Nabilah.

Menurut Haim Hilman, keputusan berkenaan bagi memberi waris tersebut melihat dan memberi sokongan moral kepada pelajar terbabit.

Beliau memaklumkan, UUM turut menghantar pegawai yang akan membantu mengurus dan memudah cara segala urusan berkaitan rawatan termasuk memberi sokongan moral.

“Waris Nur Nabilah dan pegawai UUM akan segera berangkat ke Curacao setelah semua urusan dokumentasi selesai dan pada masa sama, pihak universiti turut bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Venezuela dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“UUM berusaha memastikan keperluan rawatan dan kebajikan Nur Nabilah dipenuhi serta urusan membawa pulang nanti berjalan lancar bergantung kepada tahap kesihatan dan kebenaran daripada hospital di sana.

“Universiti sekali lagi menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada Nur Nabilah dan keluarga atas kemalangan yang menimpa.

“Semoga Nur Nabilah kembali sembuh dan tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: KPT, UUM mudah cara urusan pelajar kemalangan di Caribbean

Nur Nabilah, 25, yang sedang menjalani latihan di pusat latihan Dive Division Curacao putus kaki kanan selepas terkena kipas bot dalam kejadian pada Rabu lalu.

Dia kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Curacao, Venezuela.

Pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) UUM itu sudah tiga bulan berada di negara berkenaan sejak berlepas ke sana pada 24 September lalu.

Menurut laporan Astro Awani, anak bongsu dari empat beradik itu sedang menjalani latihan amali selama enam bulan di negara itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram