Sunnah rasulullah saat hujan

Daripada ‘Athaa’ bin Abi Rabbaah, bahawasanya ia pernah mendengar Aisyah  berkata, “Apabila hari mendung dan angin bertiup kencang, maka hal itu dapat diketahui daripada wajah Rasulullah s.a.w. Baginda bolak-balik ke depan dan ke belakang.

Dan ketika hujan telah turun, Baginda pun bergembira dan hilanglah kekhuatirannya. Aisyah berkata: “Lalu aku bertanya tentang hal itu kepada Baginda. Baginda s.a.w menjawab: ‘Aku khuatir hal itu akan menjadi azab yang ditimpakan kepada umatku’. Ketika melihat hujan turun, Baginda bersabda,” (Ini adalah) rahmat.”  HR Muslim

Bagaimanapun dalam satu keadaan, pada awal hujan Baginda telah menyelak bajunya agar air hujan membasahi tubuh Baginda.  Hal ini telah menimbulkan tanda tanya para sahabat sebagaimana hadis berikut, 

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, “Hujan turun membasahi kami (para sahabat) dan Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w membuka bajunya, sehingga hujan menyirami Baginda, maka kami bertanya, “Wahai Rasulullah untuk apa engkau berbuat seperti ini?” Baginda menjawab, “Kerana sesungguhnya hujan ini baru saja Allah Taala ciptakan.”  HR Muslim

Menjelaskan hadis di atas, Imam An-Nawawi berkata, makna membuka bajunya adalah menyelak bajunya (selain daripada aurat) agar air hujan tersebut mengenai badan Baginda. 

Manakala bagi maksud “baru sahaja Allah ciptakan” ialah penciptaan daripada Allah yang berupa rahmat. Lantas dalam hal ini, tindakan Rasulullah s.a.w. itu adalah untuk mengambil keberkatan (tabarruk) daripada air hujan tersebut.

Bersandarkan hadis di atas, Ibnu Qudamah menjelaskan, disunatkan untuk berdiri di luar ketika awal hujan dan mengeluarkan pelana (kenderaan) agar mengenai air hujan. 

Hal ini dilakukan oleh para sahabat sebagai mengambil berkat ke atas hujan tersebut. 

Yang pasti, hadis di atas tidak langsung menyebut tentang bulan-bulan tertentu untuk berbuat demikian. Ia bersifat umum dan tidak menentukan ia perlu dilakukan sama ada di bulan Muharam, Safar, Rejab, Syaaban, Ramadan atau apa sahaja bulan.

Dengan kata lain, saat hujan, maka disunatkan untuk berbuat demikian tanpa meletakkan kelebihan pada bulan-bulan tertentu dalam Islam. 

Hal tersebut dipersetujui oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Dr. Fadlan Mohd. Othman. Katanya, sekalipun hadis tersebut statusnya sahih, namun tiada di dalam matannya yang menyebut mana-mana bulan untuk melakukannya. Bahkan ia bersifat umum.

Ujarnya, apa yang diceritakan di dalam hadis tersebut ialah ketika mana hujan (di awal permulaan), Baginda s.a.w. telah menyelak bajunya bagi membolehkan air hujan mengenai tubuh Baginda.  

Tidak juga disebut di dalam hadis berkenaan tentang mandi air hujan sehingga lencun! Sebaliknya, cukuplah sekadar mengenakan sedikit tubuh dengan air hujan yang mula turun. 

Tambahnya lagi, selain hadis di atas, terdapat sebuah hadis lain yang menggambarkan tentang perbuatan Baginda yang membiarkan dirinya dibasahi hujan sehingga janggut Baginda basah.

Peristiwa itu berlaku ketika Baginda diminta untuk berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan setelah sekian lama mengalami musibah kemarau.

Anas bin Malik berkata, “Pada zaman Rasulullah s.a.w. manusia pernah ditimpa kemarau. Pada hari Jumaat ketika Nabi s.a.w. sedang memberikan khutbah, tiba-tiba seorang Arab Badwi berdiri dan berkata,

“Wahai Rasulullah, harta benda telah binasa dan telah terjadi kelaparan. Maka berdoalah kepada Allah agar menurunkan hujan untuk kita!” Anas bin Malik berkata, “Rasulullah s.a.w. lalu berdoa dengan mengangkat kedua-dua telapak tangannya.

Dan saat itu tidak sedikit pun ada awan di langit.”Anas melanjutkan perkataannya, “Maka awan seperti gunung bergerak.  Baginda belum lagi turun dari mimbarnya hingga aku melihat air hujan membasahi janggutnya…” HR  Bukhari & Muslim

Jelas Dr. Fadlan, antara sunat yang boleh dilakukan semasa hujan permulaan ialah membasahkan badan sedikit dan bukan mandi.  Bila-bila masa, mana-mana tempat dan tidak kira bulan.

Sekiranya ada orang yang mengatakan, sunat dilakukan dalam bulan Muharam, maka di situ telah berlaku penambahan dalam pendalilan (penghujahan). Hal ini sudah tentu salah kerana ia tidak langsung disebut dalam mana-mana hadis sahih.

Dalam ilmu usul fikah pun, ulama meletakan dalil yang umum perlu dijelaskan secara umum selagi mana tiada dalil yang mengkhususkannya.

Siapa yang belajar ilmu usul fikah, mereka akan faham bahawa perbuatan mengkhususkan sesuatu yang umum dan mengumumkan sesuatu yang khusus, kedua-duanya adalah satu kesilapan kecuali ada dalil. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare