Sebahagian daripada pengunjung yang hadir untuk mencari peluang pekerjaan pada Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Tahun ini, genaplah 26 tahun penglibatan penulis sebagai pengusaha pusat latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) swasta. Sektor ini secara khususnya disebut sebagai Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).

Dalam tempoh yang panjang ini, banyak pengalaman penulis lalui dalam menyediakan tenaga kerja khususnya pekerja berkemahiran di Malaysia. Sedikit-sebanyak, penulis juga dapat merasai trend pekerjaan di Malaysia sejak hampir tiga dekad lalu. Sudah pasti, ilmu dan pengalaman ini dapat membantu penulis untuk membayangkan masa depan tenaga kerja di Malaysia.

Pada pandangan penulis, Covid-19 telah mempercepatkan proses perubahan dalam corak dan aliran tenaga kerja di Malaysia. Malah, kepantasannya juga umpama sekelip mata yang akan menguji sejauhmanakah  kita benar-benar sudah bersedia dengan situasi mengejut ini.

Dua situasi isu tenaga kerja di Malaysia yang sudah berlaku ialah kebergantungan kita terhadap pekerja asing dan kegagalan kita mengasuh tenaga kerja tempatan untuk memenuhi tenaga kerja negara sudah mula memberi kesan negatif besar terutama selepas pandemik Covid-19.

Dalam tempoh pandemik, penulis banyak melakukan hubungan industri dengan majikan terutama di sektor kritikal seperti perladangan, pertanian dan pembuatan. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, banyak sektor lain seperti peruncitan dan perhotelan pula menjadi sasaran penulis bagi melihat trend permintaan dan penawaran pekerjaan di Malaysia.

Rata-rata majikan mengeluh kerana menghadapi masalah kekurangan pekerja. Sektor perladangan terutama kelapa sawit amat terkesan akibat ketiadaan pekerja untuk operasi ladang seperti penuaian buah yang mengakibatkan negara mengalami kerugian yang besar.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) melaporkan bahawa industri tersebut kerugian lebih RM 30 billion pada tahun 2020 akibat ketiadaan pekerja memungut buah tandan segar (BTS).

Apabila industri perhotelan kembali beroperasi baru-baru ini, penulis menerima banyak rungutan daripada pengusaha dan pengurusan hotel bahawa mereka menghadapi masalah agak serius untuk mendapatkan pekerja tempatan, mahupun pekerja asing. Pihak hotel tidak dapat memanfaatkan kesemua bilik yang ada kerana kekurangan pekerja.

Kebanyakan mereka mendakwa mampu memanfaatkan 60 peratus sahaja bilik-bilik yang ada kerana masalah kekurangan pekerja pengemasan dan penyelenggaraan.

Bidang peruncitan dan penyedia makanan seperti restoran juga menghadapi masalah yang sama. Kita bukan sahaja dapat melihat poster atau banner yang mengiklankan tawaran kerja di merata tempat tetapi kita juga dapat melihat premis berkenaan ditutup sementara waktu bagi mengatasi masalah ketiadaan pekerja ini.

Sebenarnya, kesan kebergantungan kepada pekerja asing dan kegagalan kita melaksanakan dasar pembangunan sumber manusia tempatan sudah menjadi satu bahana sekarang dan akan menjadi lebih serius lagi pada masa hadapan.

Kebergantungan kita kepada pekerja asing telah menjadikan kita leka dan terlena dengan ‘kemanjaan’ yang merugikan dan bahaya kepada negara.

Malaysia mula menerima kebanjiran pekerja asing pada tahun 1990an dalam usaha negara ketika itu untuk berdaya saing dalam bidang ekonomi.

Pada hari ini, daripada 15.4 juta tenaga buruh di Malaysia, pekerja tempatan dianggarkan seramai 13.3 juta orang. Manakala 2.3 juta lagi adalah pekerja bukan warganegara. Angka pekerja asing ini tidak termasuk pekerja tanpa izin yang dipercayai dianggarkan sekali ganda daripada pekerja yang sah.

Angka rasmi berdaftar 2.3 juta ini bermaksud bahawa 17 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia merupakan pekerja asing. Dalam konteks Malaysia yang mempunyai 32 juta orang penduduk, angka 17 peratus ini adalah satu angka yang agak tinggi.

Negara Jepun yang sangat maju, dengan rakyatnya pula seramai 126 juta orang, bilangan pekerja asingnya hanyalah 2.5 peratus daripada keseluruhan tenaga buruhnya iaitu seramai 68.7 juta orang. Negara tersebut sangat berhati-hati dalam menerima pekerja asing walaupun terdapat keperluan tenaga kerja yang mendesak dalam sektor tertentu di negara tersebut.

Malaysia perlu melihat kesan buruk kebergantungan pekerja asing ini secara lebih serius kerana negara-negara yang menyumbang kepada tenaga kerja asing seperti Indonesia, Vietnam dan Bangladesh juga sedang giat membangun dan semakin menjadi tumpuan pelabur asing. Pembangunan yang rancak di negara-negara tersebut telah menyediakan peluang pekerjaan yang lumayan, selesa dan berbaloi kepada rakyatnya untuk tidak lagi berhijrah ke Malaysia.

Malah difahamkan, ada di kalangan negara tersebut sudah mula menuntut pelbagai syarat yang sukar untuk dipenuhi oleh Malaysia pada masa kini.

Jika perkara ini berlaku, banyak sektor ekonomi terutama sektor-sektor penting seperti pertanian, perladangan dan pembuatan akan mengalami masalah tenaga kerja yang serius.

Kelemahan dalam sistem pendidikan negara sejak sepuluh tahun yang lalu juga menambah beratkan lagi masalah tenaga kerja di Malaysia. Kita gagal menyediakan satu sistem pendidikan yang dapat mengasuh rakyat Malaysia untuk menyertai pelbagai sektor pekerjaan terutama di peringkat operasi yang memerlukan ramai pekerja.

Penulis berasa sangat bimbang apabila melihat perlaksanaan pendidikan ketika pendamik Covid-19 sekarang kerana perjalanan pendidikan hari ini dikhuatiri melahirkan generasi yang tidak seimbang dalam konteks intelektual, rohani, emosi dan jasmani. Pendek kata, mereka tidak mampu untuk mengisi tenaga kerja yang diperlukan oleh negara pada masa depan.

Tanpa menafikan keperluan tenaga kerja asing, kerajaan perlu melakukan segera proses pembetulan dan penambahbaikan serta-merta supaya Malaysia dapat menangani kekurangan tenaga kerja dengan baik.

Langkah yang memberi kesan serta-merta dan jangka panjang perlu dilakukan segera untuk mengelakkan satu lagi krisis atau bencana yang akan  melanda negara dalam masa terdekat dan akan datang.

Antara langkah segera ialah kempen kesedaran dan menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi pelbagai peringkat pekerjaan. Ini termasuklah mempelbagaikan latihan semula pelbagai kemahiran dan menyediakan insentif yang lebih menarik kepada pekerja tempatan untuk menyertai sektor kritikal terutama yang bersifat Dirty, Dangerous and Diffilcult (3D).

Bagi tujuan jangka sederhana, galakkan inovasi dan automasi dalam industri perlu dirancakkan dengan mengurangkan pelbagai karenah birokrasi. Pembangunan Revolusi Perindustrian  4.0 (IR.4.0) bukan sekadar retorik caka-cakap tetapi diterjemahkan sepenuhnya serta-merta.

Pembetulan semula dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan juga hendaklah dilakukan segera dengan memberi penekanan kepada pendedahan pekerjaan sebenar terutama sektor kritikal sejak di bangku sekolah.

Pendedahan kemahiran bukan sahaja membolehkan mereka menguasainya secara teknikal, bahkan mendapat penerapan nilai iaitu nilai ekonomi dan budaya persekitaran sebenar pekerjaan atau the real business nature. Pembinaan jatidiri juga adalah antara faktor penting.

Perkembangan trend pekerjaan dan isu berkaitan bukanlah perkara kecil yang perlu ditangani terutama selepas pendamik Covid-19. Kita tidak perlu merombak sepenuhnya sistem yang ada tetapi sebaliknya adalah berusaha untuk meningkatkan kaedah dan kualiti pembangunan sumber manusia agar tahan diuji zaman dan kalis untuk menempoh cabaran dunia yang semakin kompleks.

Secara sedar atau tidak, kegagalan kita memperbaiki segera dasar dan perlaksanaan tenaga kerja negara akan membawa padah dalam masa terdekat dan akan datang. Krisis tenaga kerja ini sudah pasti akan melemahkan daya saing kita dalam ekonomi di dalam negara, mahupun peringkat antarabangsa.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV