BATU-batu bergerak sendiri tanpa campur tangan manusia atau haiwan? Kedengarannya memang aneh, tapi inilah fenomena yang berlaku di sebuah kawasan di Death Valley National Park di California, Amerika Syarikat.

Kawasan yang mencetuskan fenomena misteri itu juga dikenali sebagai Lembah Maut, mempunyai fenomena geologi aneh apabila bongkah-bongkah batu di situ bergerak sendiri sehingga membingungkan ramai pengkaji.

Seorang pengkaji geologi, John Reid dari Kolej Hampshire di Massachusetts pernah mengunjungi lembah ini dari tahun 1987 hingga 1994 untuk mengkaji keanehan batuan yang bergerak itu.

Apa yang menghairankan Reid apabila melihat di atas permukaan Racetrack Playa (kawasan datar yang terdapat sebuah tasik sementara) banyak denai lurus dan panjang akibat kesan pergerakan batu-batuan di situ.

Batu-batu di tasik kering ini bergerak sendiri yang membingungkan para pengkaji.

Batu-batu itu bergerak sendiri di atas tanah lumpur, malah meninggalkan  kesan landasan yang panjang sebagai bukti pergerakannya. Reid hairan bagaimana batu-batu itu mampu bergerak sendiri, apatah lagi sebahagian batu itu beratnya lebih 300 kilogram.  

Pada ­ firasatnya, mustahil batu seberat itu boleh bergerak sendiri di permukaan tandus tanpa ada bantuan lain yang mendorong pergerakannya. Sebab itu tidak hairan pada awalnya tercetus beberapa teori tentang haiwan atau manusia yang menolaknya.

Malah, ada juga mengaitkan fenomena ini dengan ‘hantu’ atau ‘syaitan’ serta makhluk asing yang kononnya membantu menggerakkan batu tersebut. Tak kurang juga yang mengatakan batu itu bergerak disebabkan angin daripada kipas kapal terbang, pusaran debu dan juga dikaitkan dengan medan magnetik.

Namun, kesemua teori itu tidak benar kerana lembah tersebut jauh terpencil dari tempat tinggal manusia dan haiwan.

Pelbagai teori dikaitkan dengan fenomena aneh batu ini yang bergerak sendiri dari kedudukan asal.

Reid yang mengkaji kawasan itu mendapati ia adalah sebuah tasik yang kering-kontang. Permukaan lantainya berkeluasan kira-kira empat kilometer panjang dan dua kilometer lebar itu ‘beratapkan’ rekahan selut kering yang terhasil dari mendapan kelodak dan tanah liat.

Reid turut melakukan eksperimen ke atas lantai tasik itu dengan membuat hujan olok-olok untuk membenamkan sebahagian permukaan lumpur kering di situ. Lalu dia membuat angin dengan kelajuan 175 batu per jam untuk menggerakkan batu seberat 20 kilogram dan selaju 280 batu per jam bagi menggerakkan batu paling berat, iaitu 318 kilogram.

Kesimpulan uji kaji itu mendapati, angin sahaja tidak mampu untuk menggerakkan batu itu. Dia percaya lapisan ais pada tasik itu kemungkinan menjadi penggerak utama.

Menerusi pengamatan Reid, iklim di kawasan itu kering sepanjang tahun dan didapati tiada satu pun tumbuhan boleh hidup di situ. Bagaimanapun, apabila hujan, air dari Gunung Cottonwood, Gunung Last Chance Range dan Gunung Panamint yang mengelilingi lembah itu akan mengalir turun ke bawah sehingga mengubah lantai yang kering menjadi tasik cetek.

Apabila permukaan itu basah, lumpurnya berubah menjadi lembut dan licin. Namun ketika musim dingin terutama pada waktu malam, permukaan basah tadi akan membentuk lapisan ais yang nipis dan membeku di bawah batu. Apabila cuaca panas pada siang hari pula lapisan ais itu akan cair, lalu menjadikan permukaan lembah itu licin.

Maka Reid berandaian, senario ais ini adalah faktor yang menolak batu itu bergerak dari kedudukan asalnya.

Pergerakan batu di lembah ini dikaitkan dengan pelbagai teori.

Kajian Reid itu terus diperdebatkan oleh pengkaji lain. Ahli geologi dari American Geological Institute, John Shelton dalam terbitan kertas saintifiknya pada tahun 1953 berpendapat, tiada sebarang lapisan ais di bawah permukaan lembah itu seperti yang didakwa oleh Reid.

Mengikut teori Shelton, lapisan ais yang cair akan menjadikan permukaan tanah liat lembik seperti agar-agar alga. Padanya, sesuatu permukaan yang sangat licin agak sukar untuk membekukan selut di situ. Jika melihat dari segi teori, angin dengan sendirinya boleh menolak batu itu, bergeser dan meninggalkan jejak. Namun begitu, Shelton tidak menolak kemungkinan ada masanya ais memainkan peranan dalam fenomena itu.

Pada tahun 1976, ahli geologi dari Institut Teknologi California, Robert Philip Sharp dan Dwight Carey pula mendakwa adalah mustahil jika ais dijadikan alasan untuk bongkah-bongkah batu itu bergerak.

Mereka berpendapat, faktor angin sebenarnya yang membuatkan keadaan aneh itu berlaku. Ini kerana, sekiranya ais wujud di bawah permukaan batu, mungkin tidak akan ada kesan lekukan dan denai panjang itu.

Fenomena pergerakan batu-batu ini terus menjadi perdebatan. Pada tahun 2006, penjelasan lebih terperinci telah merungkaikan fenomena aneh ini melalui kajian saintis NASA, Ralp Lorenz.

Dia menyifatkan fenomena di lembah ini sama dengan yang berlaku di sekitar pantai Lautan Artik, di mana batu-batu di pantai itu terapung di atas ais dan bergerak mengubah kedudukan asalnya.

Sewaktu musim sejuk, air yang ada pada dataran tasik kering ini akan berubah menjadi lapisan ais yang nipis. Ketika siang, ais itu akan mencair. Dengan angin dan ais yang mencair itu membantu menggerakkan batu-batu di situ. Bermakna teori asal John Reid dahulu memang logik diterima akal.

Hanya pada tahun 2014, barulah fenomena batu-batu bergerak di lembah ini berjaya dirakam proses pergerakannya. Mengambil tempoh lebih 2 bulan, seorang pengkaji dari Boise State University, Dr. Brian Jackson telah menangkap ratusan imej melalui kaedah fotografi untuk mengesan pergerakan batu-batu di situ.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen