SELEPAS menerima tekanan ekoran keputusan buruk dalam Piala Suzuki AFF 2020, baru-baru ini, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan melepaskan jawatan, hari ini.

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan dan menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF.

Menurut beliau, pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut.

Mohd. Saifuddin berkata, FAM juga telah bersetuju melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan.

“Beliau selepas itu kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

“Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Baca artikel berkaitan: Cheng Hoe kata pemain kita terlalu hormat Vietnam

Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya sejak Disember 2017 menggantikan Nelo Vingada.

Sebagai rekod, bekas jurulatih Kedah itu telah menerajui skuad kebangsaan dalam 40 perlawanan dengan mencatatkan 20 kemenangan, 16 kalah dan empat kali keputusan seri.

Kejayaan terbaik pernah direkodkannya adalah ketika membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 ketika tewas 2-3 secara agregat di final kepada Vietnam.

Aksi menarik ditampilkan skuad kebangsaan bawah kendalian Cheng Hoe pada tahun 2019 mendapat pujian terutama selepas hanya tewas tipis 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Impak COVID-19 kemudiannya memberi kesan dalam baki tiga perlawanan terakhir pusingan kelayakan itu.

Hasilnya, skuad negara menamatkan saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE awal Jun lalu di kedudukan ketiga di belakang pasukan tuan rumah dan Vietnam.

Harapan untuk melihat Malaysia menamatkan penantian lebih 10 tahun merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF juga tidak kesampaian apabila Harimau Malaya tumbang seawal peringkat kumpulan, baru-baru ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram