hujan rahmat penyebab penyakit
Sekadar gambar hiasan

Sekitar tahun 50, 60 mahupun 70-an,  kegirangan anak-anak bermain hujan ibarat pesta yang menghiburkan. Hujan, anugerah terindah yang sememangnya ditunggu-tunggu.

Tapi hari ini, hujan dilihat seakan ancaman kepada manusia. Berpesta hujan bermakna ‘berpestalah’ juga dengan ubat-ubatan dari klinik mahupun hospital.

Justeru, bagaimana mungkin sunah Rasulullah untuk menggalakkan kita membasahkan badan dengan hujan sewaktu awal turunnya? Soalnya, benarkah hujan itu berbahaya?

Menjawab persoalan ini Profesor Dr. Mohd. Talib Latif, Timbalan Pengarah merangkap Felo Utama dan Pengerusi, Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, hakikatnya hujan terhasil daripada proses pemeluwapan air dari tasik, sungai, laut atau apa sahaja air dari bumi, yang naik ke atmosfera dan akhirnya turun ke bumi semula sebagai air yang bersih.  

Bahkan proses terhasilnya hujan inilah telah memberi ilham kepada para saintis untuk menghasilkan air suling untuk kegunaan dalam kajian-kajian di makmal.

Maka benarlah apabila Allah menjelaskan, sesungguhnya hujan itu adalah sesuatu yang berkat bahkan rahmat kerana ia memberi manfaat kepada kehidupan manusia dan sekalian makhluk di muka bumi ini. 

Hujan, secara prinsipnya menurut Dr. Mohd. Talib adalah air yang bersih berbanding air laut, tasik mahupun sungai yang ada di muka bumi ini. Air laut sekalipun bersih tetapi dari segi sifat fizikal kimianya penuh dengan garam.

Maka ia tidak sesuai untuk manusia dan tumbuhan. Tetapi apabila air-air itu mengalami proses pemeluwapan, maka ia akan turun sebagai air yang sangat bersih.  

Contohnya, air tasik yang tercemar semuanya akan terpeluwap. Ketika proses itu, bahan-bahan yang tercemar akan terasing daripada molekul-molekul air. Ia tidak akan bergabung antara satu sama lain bahkan menjadi bahan-bahan yang berbeza. 

Misalnya, kandungan air tadi terdapat ammonium dan sulfur. Apabila terpeluwap, maka ia akan menjadi gas ammonia dan gas Hidrogen Sulfat manakala air tadi akan membentuk molekul-molekul air seterusnya naik ke atas membentuk awan dan turun sebagai hujan,” ujarnya.

Hujan dikawasan perindustrian lebih berbahaya kerana mengandungi zat kimia yang boleh memudaratkan kesihatan

Pada asasnya air hujan itu bersih. Air hujan akan menjadi berasid apabila bergabung dengan komponen-komponen tertentu seperti karbon dioksida, sulfur dioksida, Nitrogen dioksida, nitrous oksida, hidrokarbon, arsenik, kadmium,plumbum, merkuri, nikel, zink dan logam toksik.

Dan, mengikut kajian air hujan yang telah bergabung dengan komponen-komponen itu boleh memudaratkan kesihatan. Memudaratkan bagi yang berpenyakit asma, manakala bagi kanak-kanak hujan asid boleh menyebabkan batuk, batuk dan alergi.

Selain itu gas sulfur dioksida juga dipercayai agen beberapa penyakit kepada manusia seperti sakit dada, tulang, batuk, sakit kerongkong, barah kolon dan barah payudara.

Manakala air hujan yang bercampur dengan plumbum, kadmium dan aluminium berbahaya apabila diminum dan boleh menyebabkan cirit-birit pada kanak-kanak, gangguan saraf dan membahayakan otak. Dan, aluminium berpotensi menyebabkan penyakit alzheimer.

Kualiti Air Berbeza Setiap Kawasan

Dr. Mohd. Talib mengatakan, kualiti air hujan itu berbeza antara kawasan pedalaman dan di luar kawasan perindustrian.

Adalah lebih baik mereka yang tinggal di kawasan perindustrian, mengelakkan diri daripada terkena hujan kerana impaknya amat besar dari sudut kesihatan terutamanya kepada pernafasan dan penghadaman.

Bagi mereka yang masih mahu ‘bermain’ hujan, seelok-eloknya,  tunggulah sehingga 30 minit hujan turun kerana hujan di awal 30 minit itu akan membersihkan terlebih dahulu permukaan atmosfera. Dengan syarat mesti hujan lebat bukannya gerimis. 

Bagi yang mahu menggunakan air hujan untuk keperluan tertentu, air hujan yang ditakung terus dari langit, perlulah terlebih dahulu melalui proses pemendakan sehari semalam bagi memastikan bahan-bahan tercemar yang berada di atmosfera mendap terlebih dahulu. 

Sebaik-baiknya ambillah bahagian atas takungan air tersebut dan selebihnya dibuang.

Dan untuk minum pula, adalah perlu untuk memasaknya dan tidak terus diminum terus,” Wallahu a’lam

__________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare