PELAKON sensasi, Rita Rudaini mempersoal sikap netizen yang tidak berpuas hati akan kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) berhubung pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 yang keempat, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian hantaran di Instagram Rita, dia memuatnaik sebuah tangkap layar berita daripada Astro Awani mengenai perkara tersebut.

“Habis madu sepah dibuang. Dulu dia lah tolong membawa masuk penawar untuk kamu semua. Korang puji dan puja dia. Korang marah orang lain.

“Kamu semua kata penawar itu ‘ikhtiar’, sekarang nak marah dia kenapa? Memang tidak kenang budi. Mana ‘ikhtiar’ korang? Sudah tercicir? Dos penggalak itu ‘mak segala ikhtiar tau. Kamu semua ini memang tidak kenang jasa dia.

“Dulu dia beri satu, korang minta dua. Sekarang dia beri lebih, korang marah kenapa? Bukan perlu bayar pun. Memang tidak kenang dek untung! Biasalah, Yang Berhormat kena ingat, Melayu mudah lupa,” ujarnya.

Terdahulu, Khairy berkongsi bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji keperluan untuk memberikan suntikan dos penggalak keempat, susulan ancaman penularan jangkitan Omicron.

Jelasnya, kajian mendapati pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac adalah tidak mencukupi bagi membendung jangkitan Omicron.

Buat masa ini, hanya satu dos penggalak yang diperlukan untuk meningkatkan ketahanan penerima terhadap wabak Covid-19.