PELAKON dan pengarah filem terkenal, Nam Ron telah menarik perhatian ramai apabila berkongsi sekeping foto separuh bogel yang hanya menutupi bahagian sulit menggunakan anak patung berbentuk seekor ‘unicorn’ di Instagramnya, semalam.

Pemilik nama Shahili Abdan atau mesra disapa sebagai Nam Ron,52, turut berkongsi tentang rahsia kebahagiaan adalah dengan berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira siapa mereka.

“Ibu, bapa, saudara mara, jiran tetangga, muda, tua, baik, jahat, kaya, miskin, islam atau tak, tak kira apa bangsa, warna kulit, cantik, hodoh, perempuan, lelaki, ahli maksiat, ahli agama, ada agama atau tak, pelacur, pencuri, kaki mabuk, mat gian, mat rempit, cacat atau tidak, ‘rockstar’, ‘pornstar’ bla bla bla kerana kita semua adalah sama mahkluk tuhan sekalian alam.

“Dan, bergantung penuhlah dengan Allah kerana Dialah yang mengerakkan setiap sesuatu. Dialah yang bagi petunjuk dan Dialah yang menyesatkan. Bukan kita,” tulisnya di dalam kapsyen foto sensasi tersebut.

Malah, pengarah Filem One Two Jaga ini turut memuat naik sebuah hantaran terbaharu yang seakan memberi penjelasan terhadap fotonya yang telah menimbulkan kontroversi ramai.

“Dalam kehidupan ini, jangan hanya harap dipuji kerana dikeji juga ada kebaikannya. Pujian adalah racun sedangkan kejian adalah penawar untuk hati supaya kita sedar diri.

“Saya adalah ujian untuk tuan-tuan dan puan-puan. Kalian adalah ujian untuk saya. Semoga kita sama-sama lulus berdepan ujian. Innalillahiwainnalilah…,” ujarnya.

Pada September tahun lalu, Nam Ron turut menarik perhatian ramai apabila memuat naik foto separuh bogelnya di Instagram bagi menyahut cabaran sebuah produksi yang mengenakan syarat untuk mengambil pelakon yang mempunyai jumlah pengikut sekurang-kurangnya 1 juta di media sosial.