KONSERT sulung penyanyi Khai Bahar yang dijadual berlangsung pada Mac tahun lalu dibatalkan selepas ia tertunda lebih setahun ekoran penularan wabak Covid-19 selain aktiviti persembahan dan konsert tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita pembatalan konsert yang sepatutnya diadakan di Istana Budaya itu sedikit sebanyak mengundang kesedihan penyanyi yang mencipta nama menerusi aplikasi Smule itu. Apatah lagi, kebanyakan peminat sudah teruja untuk menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi di pentas ternama itu.

Namun, kekecewaan itu bakal terubat apabila Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul bin Baharuddin kembali menjayakan Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar pada 12 Februari hadapan.

Konsert anjuran syarikat Nova Music itu bakal diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama.

Khai berkata, dia teruja dan terharu apabila pihak Nova Music memilih dirinya untuk menjayakan konsert berkenaan.

“Apabila saya mendapat tawaran mengadakan konsert tahun lalu, bagi saya ia satu peluang keemasan.

“Namun, perancangan Allah itu lebih baik. Saya menganggap belum ada rezeki untuk buat konsert apabila ia terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu dan selepas berbincang dengan semua pihak biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan. Apa pun saya memandang ia dari sudut positif.

“Saya juga percaya setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsert saya.

“Kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan. Pelawaan itu saya anggap rezeki buat saya. Selepas membuat perbincangan, pasukan saya bersetuju untuk membuat konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini,” katanya kepada URTV.

Menurut Khai, dia menyifatkan penganjuran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar itu dapat mengubat kerinduan dan kekecewaan peminatnya.

“Diakui ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan.

“Saya pun tidak tahu nak memberi reaksi bagaimana sebab saya sendiri juga berasa sedih. Seperti yang dikatakan, saya anggap ia belum rezeki. Namun, kehadiran konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini saya harap dapat mengubati kesedihan mereka.

“Saya bersama pasukan dan pihak penganjur akan cuba memberikan yang terbaik. Biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impian dan hasrat saya serta peminat untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai.

“Tipulah jika dalam kerjaya seseorang penyanyi dia tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seni. Begitu juga saya yang mana mengadakan konsert ini satu daripada cita-cita yang belum tercapai. Jadi, doakan semoga segala perancangan menuju konsert ini dipermudahkan Allah SWT,” ujarnya.

Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar bakal diadakan secara hybrid fizikal dan virtual live. Ini membolehkan bukan sahaja peminat Khai dari Lembah Klang untuk menonton konsert ini malah peminatnya dari seluruh Malaysia dan rantau Asia.

Selain Khai, konsert ini menampilkan Aina Abdul dan ‘Ratu Soundtrack’, Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.

Aina Abdul dan Adira Suhaimi akan turut menghiburkan penonton di konsert Nafas Cinta Khai Bahar

Tiket tontonan konsert secara fizikal yang dijual dengan harga RM189.90 sudah mula dijual menerusi ONETIX dengan melayari https://onetix.com.my/.

Manakala tiket tontonan konsert secara virtual yang dijual dengan harga RM69.90 (31/12/21 – 13/01/22), RM79.90 (14/01/22 – 27/01/22) dan RM89.90 (28/01/22 – 11/02/22) boleh di beli pada hari yang sama dengan melayari https://www.cloudtheatre.com/my/.