PEMERGIAN Allahyarham Siti Sarah pada Ogos lalu akibat jangkitan COVID-19 telah membuatkan pelawak Shuib bergelar bapa tunggal kepada empat cahaya mata.

Menerusi laporan Kosmo, Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad, mengakui bahawa dirinya sukar untuk melupakan Siti Sarah dan masih di dalam proses menyesuaikan diri, meskipun sudah lima bulan kehilangan isteri tercinta.

“Saya tiada jawapan untuk soalan itu. Sekarang ini, saya cuba sibukkan diri. Sekarang ini saya seorang diri, apabila pulang ke rumah, tidur sendirian pasti akan teringat arwah.

“Sudah hampir lima bulan, saya serahkan kepada masa. Melupakan memang tidak boleh, tetapi sekarang sakit sedikit berkurangan, saya sedang terima serta sesuaikan diri hidup tanpa dia,” ujarnya.

Selain menitipkan doa, Shuib juga sering mendengar kembali lagu yang pernah dilantunkan oleh arwah bagi melepaskan kerinduan di dada.

“Sejak arwah tiada, saya tiba-tiba suka dengar muzik dan hayati lagu, lalu datang pelbagai emosi. Kadangkala terfikir juga kenapa saya mahu membinasakan diri dengan mendengar lagu-lagu sedih.

“Tambahan, lagu-lagu arwah saya akan dengar sewaktu rasa terlalu rindu padanya. Dengar kembali lagu-lagu duet bersamanya akan buatkan saya teringat kembali momen kena marah di studio, reaksi dan senyumannya,” katanya.

Menurut Shuib, hatinya masih lagi kosong daripada wanita dan jika dia inginkan perkahwinan lagi, semuanya adalah kerana anak-anak serta menyerahkan segala urusan jodoh kepada Allah.

“Soal jodoh dan ajal, Allah yang tentukan. Jika saya kata, janganlah ambil Sarah cepat sangat, tetapi Allah tetap ambil jua. Begitulah juga dengan kehidupan saya pada masa depan. Saya tidak berani untuk cakap lebih-lebih mengenai soal jodoh.

“Jika esok lusa saya jatuh cinta dengan orang lain, jadi saya serahkan semuanya pada Allah. Saya pun sudah matang, andai berkahwin lagi pasti sudah tahu apa yang diinginkan dalam sebuah perkahwinan,

“Sebagai manusia, sudah fitrah kita ingin berkasih sayang dan ada yang menemani. Namun, saya lebih fikirkan anak-anak. Andai saya berkahwin semula, sebab utamanya adalah demi anak-anak.

“Mereka masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ibu. Terutamanya Talita yang saya lihat lebih banyak berdiam berbanding dahulu. Sebelum ini, dia selalu berkongsi cerita, pakaian dan alat solek bersama arwah ibunya.

“Walaupun saya cuba yang terbaik, pasti ada ruang-ruang kosong yang tidak mampu saya isi kerana saya lelaki, tidak memahaminya seperti mana seorang ibu. Cepat atau lambat jodoh, saya serah pada Allah,” katanya.

Buat info, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur pada jam 5.13 pagi akibat jangkitan Covid-19.

Pasangan ini dikurniakan empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia lima bulan.

SUMBER: KOSMO https://www.kosmo.com.my/2022/01/02/kalau-shuib-kahwin-semula-semuanya-demi-anak-anak/