Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan Ganesparan A/L Nadaraja bersabit waran tangkap kerana gagal hadir pertuduhan kes hina Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BUKIT AMAN sedang mengesan seorang lelaki dikenali N. Ganesparan kerana gagal hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi kes pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki warga tempatan itu berusia 40 tahun.

Katanya, Ganesparan dikehendaki bersabit waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu, berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 233(1(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 40 tahun itu,(dinasihatkan) supaya menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Superintendan Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat Inspektor Shahrir Mohamad 019-5414014,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi Diraja dan kerajaan yang tular di media sosial.