JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah kompleks beli-belah di Solaris, Kuala Lumpur selepas tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK dan berjaya menahan seramai 13 orang warga asing.

Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia menyerbu lokasi tersebut pada pukul 3 petang, semalam dengan kekuatan seramai 38 orang Pegawai Imigresen dan telah memeriksa 60 orang warga asing yang berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun.

Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat dan premis tersebut didapati banyak menggaji warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan juru jual yang bertugas dengan majikan warga tempatan.

Semasa serbuan dilakukan, warga asing ini cuba bertindak pantas dengan menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya.

“Seramai 13 orang lelaki warganegara India telah ditangkap kerana kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa. Selain itu, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan daripada JIM.

Kata kenyataan itu, semasa pemeriksaan, terdapat juga pekerja warga asing yang digajikan ini telah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Jabatan ini menggesa kepada warga asing supaya mengambil kesempatan sertai Program Rekalibrasi Pulang PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Walaupun program ini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022, JIM tidak akan berdiam diri dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap PATI dan majikan yang masih degil. – UtusanTV