BERMULA dengan era pandemik Covid-19 sehinggalah ke bencana banjir, misi bantuan kemanusiaan bukan sahaja dilakukan banyak pihak tetapi termasuklan golongan selebriti.

Ia termasuklah pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil yang mengaku tidurnya tidak lena tatkala memikirkan nasib mangsa banjir.

Justeru, baru-baru ini Pak Nil telah mengumpulkan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor dalam membina semula hidup baru dan menyalurkan bantuan sekaligus tercetusnya idea mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil.

Katanya, kedai percuma yang ditempatkan di kawasan Bukit Canggang itu diwujudkan pada 30 Disember lalu.

“Ia cetusan usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ.

“Saya sebelum ke sana sebenarnya turut dihubungi oleh salah seorang pengikut Instagram berkongsi sisi ceritanya mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.

“Malah ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya kepada URTV.

Pemenang 10 kali kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH sejak 2003 itu juga menyedari kawasan terbabit seakan terpinggir daripada pandangan ramai.

Katanya lagi, bantuan orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) juga agak berkurangan.

“Saya mulakan dengan menyediakan makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip di kalangan pengikut media sosial saya.

“Kami berjaya menyediakan hampir 1000 bungkusan makanan sehari kepada mangsa banjir. Sebaik sahaja banjir surut, mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing-masing.

“Ketika itu, saya tinjau dan amati, mereka terpaksa mengumpul semula barang dan membaik pulih rumah.

“Mereka juga tiada langsung barangan keperluan asas. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” kongsinya.

Buat permulaan, penyanyi lagu Apo ini menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

“Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

“Timbul juga idea untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan.

“Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil,” katanya.

Jelas Pak Nil lagi, mangsa banjir boleh ke kedai itu untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka.

“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke Kedai Percuma Pak Nil atau menyalurkan duit sumbangan ke akaun saya.

“Jadi saya boleh terus tambah barangan keperluan itu. Bagi yang mahu menyumbang boleh ke akaun Instagram @aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut atau ‘bank in’ ke 564735801178.

“Kedai ini akan terus beroperasi jika menerima sumbangan orang ramai, NGO, pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” tuturnya.

Sementara itu bercerita lanjut sewaktu misi kemanusiaan, Pak Nil akui air matanya berjuraian tanpa diduga.

“Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga melalui ujian ini.

“Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh, saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka membina hidup kembali,” katanya.

Sebelum ini, Pak Nil menggunakan platform Instagram dan TikTok untuk mengajak orang ramai bersama-sama dengannya mencari dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan terbabit.

“Rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah. Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima sungguh luar biasa.

“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil di sana. Walaupun tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.

“Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kerja kemanusiaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pak Nil percaya dengan kuasa media sosial termasuk pengaruh dan kedudukan mampu mengajak orang ramai sama-sama berganding bahu membantu mangsa bencana alam itu.

“Niat dan matlamat saya adalah untuk meringankan beban mangsa banjir. Bahkan, ini juga masa terbaik untuk kita seluruh rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, batas agama, bangsa dan latar belakang.

“Hari ini, hari mereka… siapa tahu esok lusa hari kita pula?” kata Aznil yang juga pengasas Yayasan Pesona dalam nada sayu.