TERPILIH menjadi vokalis kumpulan legenda Search, Denden Gonjalez mezahirkan rasa bangga dan terharu apabila dirinya dipilih bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan Amy.

Menurut Denden,38,dia tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan persetujuaan ketika dipelawa untuk menjadi sebahagian daripada band tersebut.

“Kumpulan Search merupakan idola saya dalam bidang muzik. Apabila ditawarkan untuk menjadi vokalis, saya langsung bersetuju,” katanya kepada URTV.

Ditanya tentang penerimaan peminat serta tekanan yang mungkin dihadapi memandangkan Search telah lama bertapak selain mengumpul ramai peminat dari lapisan umur, ini jawapan Denden.

“Saya tidak berasa tertekan walaupun saya tahu ia satu tanggungjawab yang besar untuk memikul nama Search di bahu saya.

“Saya kekal tenang dan pada masa sama beruntung kerana terpilih menjadi sebahagian dalam sejarah Search,” tuturnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Denden Gonjalez vokalis baharu Search

Tambah Denden yang berasal dari Bandung, Indonesia ini, dia hanya ingin menjadi diri sendiri tanpa dibayangi dengan penyanyi asal agar peminat dapat membezakan ‘line up’ baharu kumpulan itu.

“Strategi saya untuk nampak berbeza daripada penyanyi asal ialah untuk menjadi diri sendiri tanpa cuba menjadi seperti Amy.

“Suara Amy sangat unik dan istimewa. Bagi saya, peminat memiliki perspektif masing-masing dan saya tiada masalah untuk dibandiingkan sebab Amy merupakan penyanyi rock legenda.

“Semoga peminat Search dapat menerima saya untuk mengisi kekosongan ‘line up’ ini,” ujarnya yang tidak sabar untuk bertemu peminat di Malaysia dan hanya menunggu panggilan daripada Noordin dan Kid.

Minggu lalu, Search yang dianggotai oleh Noordin (gitaris), Kid (gitaris), Yam (bass) dan Minn (dram) mengumumkan penyanyi baharu mereka selepas pengunduran Amy sebagai vokalis utama pada Mac tahun lalu.

VIDEO PILIHAN: