Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media di Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) dan pelbagai aspek dalaman dari sudut integriti sebagai penambahbaikan, demikian menurut Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) – satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM.

Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata Jawatankuasa Aduan (JKA), juga satu daripada badan pemantau bebas SPRM, telah mencadangkan 31 penambahbaikan terhadap tatacara kerja SPRM termasuklah ketidakpatuhan dalam kendalian barang-barang kes, kelemahan dalam pengendalian dokumen terperingkat serta pemeriksaan prosedur siasatan dan keperluan logistik.

Abu Zahar berkata SPRM ketika ini telah melaksanakan tindakan paling maksimum dalam memastikan kawalan dalaman terhadap pegawai seperti mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM (2021-2025) dan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM di samping melaksanakan beberapa program pengukuhan integriti.

Dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini, beliau berkata SPRM juga telah menubuhkan satu cawangan khas atau internal affairs sebagai langkah pencegahan untuk mengesan, menyiasat, mengambil tegas terhadap mana-mana pegawai yang disyaki terlibat dengan jenayah.

“SPRM memberi jaminan tidak akan berdiam diri mengenai isu seumpama ini. Telah banyak perkara dilakukan termasuk memantau hidup mewah pegawai, memantau ketulenan pengisytiharan harta pegawai, ujian dadah serta ketum, memantau kes-kes melibatkan keberhutangan yang serius dan pegawai bermasalah yang dilaporkan oleh pengarah bahagian atau negeri,” katanya.

Beliau berkata LPPR akan terus memantau perkembangan isu berkaitan dan memberi pandangan dalam membentuk suruhanjaya bersama pegawai yang berimej serta berintegriti tinggi.

Mengenai kes salah guna kuasa dan penyelewengan barang kes bekas ketua pengarah sebuah agensi kerajaan, Abu Zahar berkata beliau berpuas hati dengan tindakan SPRM yang telah menyiasat kes berkenaan, dan seorang suspek daripada pegawai SPRM yang disiasat telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam (4 Jan).

Baca: Pecah amanah AS$6.94 juta, pegawai kanan SPRM didakwa

Pegawai SPRM didakwa curi RM25 juta dihadap ke mahkamah esok

Menurutnya, SPRM dan LPPR sejak dari mula kes berkenaan mahu suspek dituduh di mahkamah secepat mungkin untuk mengelakkan persepsi negatif masyarakat namun pihak SPRM tiada kuasa untuk membuat pertuduhan.

Beliau berkata LPPR turut dimaklumkan bahawa susulan kes berkenaan, SPRM telah melakukan asset recovery dan menyita wang tunai kira-kira US$4.07 juta dan RM1.6 juta serta aset yang dibeli hasil wang haram berkenaan iaitu dua bidang tanah, tiga kereta, dua motosikal dan sebuah rumah.

Mengenai kes melibatkan pegawai SPRM dalam kejadian rompakan berkumpulan pada 10 Dis lepas (2021), Abu Zahar berkata SPRM telah memanggil mereka yang disyaki dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis.

“Ini secara tidak langsung membuktikan ketegasan SPRM yang tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang salah laku jenayah,” katanya.

Berhubung cadangan dua akta berkaitan rasuah iaitu akta Dana Politik dan Akta Antilompat, Abu Zahar berkata LPPR menyokong penuh cadangan tersebut sebagai langkah membanteras rasuah dalam kalangan ahli politik sekali gus memastikan kestabilan politik negara.

— BERNAMA