PENYANYI Ashira sebelum ini pernah berkongsi mengenai caranya mendapatkan pendapatan dengan mencuci pinggan pada setiap minggu di sebuah restoran di Puchong, Selangor.

Menurut Ashira atau Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz,38, dia melakukan kerja tersebut dengan kerelaan hatinya sendiri tanpa paksaan bagi menampung pendapatan keluarganya.

Bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang tidak senang hati dengan tindakannya termasuklah usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida.

Menerusi entri yang dimuat naik sebuah portal di Instagram, Vida telah meninggalkan komen tidak puas hati terhadap Ashira.

Bagi Vida, kerja mencuci pinggan hanya menjatuhkan standard Ashira sebagai artis dan dia meminta penyanyi lagu Di Ombak Resah itu mencari pekerjaan lain yang lebih baik.

“Saya dah bagi amaran kepada isteri Bad Indigo ini, tak perlu la kerja itu. Awak itu cantik, lembut, sopan.
“Kesian tau. Tahap artis kena kerja cuci pinggan. Ada banyak lagi kerja lain ye,” komen Vida

Malah, pendapat Vida tersebut telah membangkitkan kemarahan netizen dan menyifatkan usahawan itu seolah-olah menghina pekerjaan mencuci pinggan.

“Kerja cuci pinggan bukan hina sangat, ia kerja halal. Jadi tiada masalah kalau artis cuci pinggan,” ujar @Hmyrxh.

“Dekat rumah ada basuh pinggan tak Datuk? Kita ini tak perlu malu buat kerja yang nampak paling bawah di mata manusia macam Datuk ini. Janji hasilnya halal dan menyenangkan,” kata @Momyuzair.

“Kenapa nak beri amaran? Keras sangat bunyi itu. Dia mencari rezeki yang halal, itu lebih berkat. Tidak perlu nak sibuk hal rumah tangga orang. Pergi depan cermin, tengok diri sendiri,” komen @Saifulnizam7778.

Bagaimanapun, pendapat Vida itu disambut baik oleh Ashira dan dia berterima kasih atas nasihat yang diberikan oleh semua.

“Terima kasih @datoserivida, saya ingat pesan Datuk. Jangan risau ya semua. Selamat Tahun Baru. Semoga yang baik-baik untuk semua tahun ini. Aamiin,” doa Ashira.