PENYANYI terkenal Ernie Zakri yang dijangka bersalin bulan hadapan memaklumkan sedang mencari penyanyi yang dapat menggantikannya untuk bertanding menyanyikan lagu Boneka di Anugerah Juara Lagu ke-36.

Menurut pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri,29,itu, dia tidak dapat membuat persembahan memandangkan kandungannya kini sudah mencecah lapan bulan dan dijangka akan melahirkan zuriat pertamanya pada Februari hadapan.

“Saya masih lagi menanti daripada pihak produksi bila tarikh persembahan untuk AJL36 kerana setakat ini masih belum pasti lagi sama ada ia akan diadakan pada Februari atau Mac.

“Kalau Februari, InshaAllah saya bakal melahirkan dan kalau Mac pula saya tengah berpantang. Jadi mustahil bagi saya untuk berada di atas pentas pada waktu itu,” ujarnya menerusi laporan mStar.

Malah, Ernie turut berkongsi pemilihan pengganti dirinya masih di dalam perbincangan dan turut meminta pendapat daripada komposer lagu Boneka iaitu Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.

“Plan B untuk cari pengganti saya untuk persembahan AJL36 ini masih lagi dalam perbincangan dengan syarikat rakaman. Sebab saya harus menghormati komposer lagu ini dan masih menanti perbincangan daripada mereka juga.

“Sekarang ini saya dah mula melihat dan fikirkan calon yang terbaik. Doakanlah agar pencarian pengganti saya untuk menyanyikan lagu Boneka ini berhasil,” katanya.

Ernie turut mengakui banyak menerima cadangan daripada orang ramai yang mahukan penyanyi popular Ziana Zain sebagai penggantinya.

“Banyak juga terima cadangan daripada netizen yang mahukan Ziana Zain sebagai pengganti. Mestilah saya gembira kalau dapat saksikan dia menyanyikan lagu saya sendiri.

“Tetapi seperti saya katakan, kami masih lagi mencari calon pengganti dan berharap agar dia dapat memberikan persembahan yang baik di pentas AJL36 nanti,” tuturnya.

Buat info, pasangan duet popular, Ernie dan Syamel selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 26 Mac tahun lalu dan dijangka bakal menimang seorang bayi perempuan.

SUMBER : MSTAR