Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong, Hafiz Ariffin.

KELULUSAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menurunkan had umur kelayakan menjadi ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun melengkapkan usaha kerajaan di samping menyambut hasrat orang muda untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara dengan lebih inklusif dan progresif.

Sambil mengucapkan tahniah kepada DUN Johor, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong, Hafiz Ariffin berkata, dengan pelaksanaan Undi 18, sebanyak 706,082 orang muda di Johor dengan membawa penambahan hampir 40 peratus pengundi muda baru akan layak mengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 kelak.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan pengundi, penambahan ini akan memberi kesan signifikan kepada pola pengundian pada PRU akan datang.

“Ia merupakan isyarat kepada parti-parti politik di tanah air untuk menyesuaikan syarat keahlian dan operasi parti bagi membuka pintu dan ruang kepada generasi baru menyertai bersama mencorak landskap politik semasa tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca: Undi 18: Pendaftaran automatik diwarta, berkuat kuasa 15 Dis

Hafiz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, di kesempatan ini mewakili Pemuda UMNO Johor, pihaknya amat meraikan dan menyambut baik landskap baru yang menggalakkan lebih ramai penyertaan anak muda.

Beliau pada masa sama mengajak anak muda untuk turut serta menganggotai Pergerakan Pemuda UMNO di cawangan-cawangan seluruh Johor.

DUN Johor pagi ini sebulat suara meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 bagi menurunkan had umur individu yang ingin bertanding sebagai calon dalam pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Keputusan ini dicapai dalam Sidang Khas Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor Ke-14 di Kota Iskandar, pagi tadi.

Pindaan had umur daripada 21 kepada 18 tahun ini juga telah mendapat kelulusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Disember 2021.

Pindaan ini merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif pemberdayaan Orang Muda Johor (OMJ) oleh Kerajaan Negeri.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram