PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte hari ini mengarahkan individu yang tidak mengambil vaksin dan melanggar perintah duduk di rumah ditangkap, langkah dibuat bagi mengurangkan peningkatan jangkitan Covid-19 akibat varian Omicron.
Kerajaan mengetatkan sekatan di Manila dan beberapa wilayah dan bandar minggu ini.
Individu yang tidak divaksinasi dalam kalangan 13 juta penduduk ibu negara diarah duduk di rumah, selepas jumlah jangkitan meningkat tiga kali ganda sejak dua hari lalu.
Pegawai kesihatan berkata, kes Covid-19 dijangka meningkat lagi dalam beberapa hari mendatang dan akan memuncak menjelang akhir bulan.
“Oleh kerana ia adalah kecemasan negara, adalah pendirian saya bahawa kita boleh menahan individu yang tidak megambil vaksin mereka.
“Saya kini memberi arahan kepada (ketua kampung) untuk mencari mereka yang tidak diberi vaksin dan hanya meminta mereka atau memerintahkan mereka, jika boleh, untuk kekal di rumah.
“Dan jika dia enggan dan keluar dari rumah dan bersiar-siar dalam masyarakat atau mungkin di mana-mana, dia boleh ditahan. Jika dia enggan maka (pegawai) diberi kuasa untuk menangkap orang yang degil itu,” kata Duterte.
Vaksinasi Covid-19 adalah secara sukarela di Filipina, negara yang mempunyai lebih 100 juta orang penduudk dan kurang daripada separuh penduduk setakat ini telah melengkapkan vaksinasi mereka.
Duterte berkata beliau “terkejut” dengan sejumlah besar rakyat Filipina yang masih belum mengambil vaksin.
“Jika anda tidak mengambil vaksin, anda meletakkan semua orang dalam bahaya ketika virus itu meningkat dalam komuniti kita, di negara kita dan di dunia,” katanya.
Jangkitan baharu Covid-19 di Filipina melonjak kepada lebih 17,000 kes hari ini meningkat lebih tiga kali ganda daripada jumlah kes kelmarin.
Penyakit itu telah menjangkiti 2.9 juta orang di Filipina dengan hampir 52,000 orang daripadanya telah meninggal dunia.
Mengikut langkah sekatan yang lebih ketat dan dilaksanakan sehingga pertengahan Januari, penduduk yang tidak divaksinasi perlu tinggal di rumah melainkan membeli barangan keperluan atau bersenam.
Restoran, taman, gereja dan salun kecantikan akan beroperasi pada kapasiti yang lebih minimum manakala kelas bersemuka dan sukan bersentuhan digantung buat sementara.