BEKAS Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) Tan Sri Mohd Yusof Hitam meninggal dunia petang semalam akibat kemalangan.

Ahli Majlis dan pengasas bersama ADAB, Mohd Arof Ishak yang mengesahkan perkara itu berkata, Mohd Yusof, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

“Arwah terlibat dengan kemalangan di hadapan rumahnya di Bukit Damansara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail selepas solat jenazah yang akan diadakan selepas solat Jumaat, hari ini.

Mohd Arof yang juga rakan kepada Allahyarham berkata arwah merupakan seorang yang tegas, amanah dan mempunyai tahap intelektual tinggi yang tidak sukar dicari ganti.

Allahyarham pernah menjadi Duta ke Republik Sosialis Vietnam pada 1976 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke New Zealand pada 1978 dan juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1986.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada 1988 meninggalkan isterinya Puan Sri Michiyo Noor Azian Mustakim dan tiga orang anaknya.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Twitternya, pagi ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram