Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program Outreach Ramah Mesra Bagan Datuk yang berlangsung sejak 4 Januari hingga 5 Januari 2022.

Program yang dianjurkan di Dewan Datuk Lope’ Hashim, Bagan Datuk, Perak selama dua hari ini dihadiri lebih seribu orang pengunjung terdiri daripada para pelajar dan guru-guru melibatkan beberapa buah sekolah di sekitar daerah ini dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk. 

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program ramah mesra ini dilaksanakan untuk mempromosi dan menyebarluas maklumat terkini mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam (Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam serta peluang-peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi swasta.

“Sebagai sebuah Universiti Pendidikan No. 1 negara, UPSI telah diberi amanah untuk melaksanakan hasrat KPT melestarikan hubungan universiti dan masyarakat dengan penganjuran yang melibatkan golongan sasaran terutamanya penduduk di kawasan luarbandar dan para pelajar golongan B40,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan penutup.

Menurutnya lagi sebanyak lebih 30 penyertaan pameran daripada 9 buah fakulti UPSI dan pempamer daripada pelbagai institusi awam seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) (Politeknik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) (Kolej Komuniti), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan banyak lagi.

“Selain pameran, para pengunjung turut diberi pelbagai taklimat, saluran informasi pendedahan untuk mendapatkan peluang melanjutkan pengajian serta taklimat daripada peserta-peserta pempamer terdiri daripada agensi-agensi terlibat.

“Sepanjang dua hari ini juga perjalanan program serta taklimat informasi turut dipancarkan secara langsung menerusi talian laman sosial rasmi facebook UPSI dan siaran rakaman video menerusi laman youtube UPSITV, sekaligus berjalan secara hibrid bagi mengurangkan risiko penularan wabak covid-19,” tambahnya lagi.

Selain pameran dan taklimat, UPSI turut mengadakan perlawanan bolasepak persahabatan dengan pasukan Bagan Datuk serta agihan sumbangan makanan asas kepada sepuluh buah keluarga B40 daerah ini.

Turut hadir, Datuk Khairuddin Tarmizi, Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, merasmikan majlis penutup program.

Program bermanfaat, pameran padat maklumat

Salah seorang pengunjung, Muhammad Mustakim Mujer, 19, pelajar Kolej Komuniti Bagan Datuk berasa teruja dengan maklumat-maklumat menerusi pameran dan penerangan yang tersedia.

“Sebagai seorang siswa, program sebegini dapat memupuk minat saya untuk meneroka potensi saya ke pengajian lebih tinggi untuk capai cita-cita saya pada masa akan datang,” jelasnya.

Saidatul Nabila Parihin, 17, calon SPM SMK Rungkup, menyatakan pelbagai maklumat diperolehi sepanjang mengikuti pameran program.

“Bila saya sendiri mengikuti pameran dan taklimat daripada KPT dan UPSI, banyak rupanya pilihan pengajian dalam universiti yang boleh diterokai. Secara tidak langsung saya boleh memilih bidang mana yang bersesuaian,” jelasnya yang bercita-cita untuk menyambung pengajian pendidikan Bahasa Melayu selepas tamat persekolahan.