cabut bulu kening kanser payudara

Dalam sebuah seminar di sebuah hospital di Kuwait bersama Husain Makki Jam’ah pakar penyakit kanser dan doktor pakar payudara di hospital itu menerangkan adanya hubungan antara kanser payudara dan mencabut alis.

Pencabutan sehelai alis atau bulu kening boleh mengakibatkan pembekuan darah di tempat tumbuhnya rambut. Darah yang membeku itu mengalir dan berhenti di sel-sel payudara setelah beberapa tempoh masa.

Kenyataan yang dimuatkan dalam laman web: http : //forum.sedty.com/t450852.html itu juga menyebut darah yang teroksigen itu kemudian bertompok menjadi setitik darah di dalam sel-sel tersebut dalam jangka waktu bertahun-tahun. Inilah selanjutnya yang dapat berubah menjadi sel-sel kanser yang mengakibatkan kanser payudara.

Selain itu, dalam sebuah program televisyen di Indonesia, iaitu stesen ar-Rahmah, yang bertemakan: hubungan antara menghilangkan alis dan kesihatan wanita. Seorang doktor menjelaskan, mencabut kening boleh mengakibatkan pengeluaran hormon tiroid, penyebab kepada ketidakteraturan hormon dalam tubuh wanita yang memicu kegemukan. Juga boleh mengganggu jadual menstruasi, ketegangan saraf, serta susah tidur pada malam hari.

Sedangkan kesan jangka masa panjang ialah menyebabkan kerapuhan tulang dan mudah patah setelah dia berusia 40 tahun. Sementara itu Dr Wahbah Ahmad Hasan juga berkata:

“Menghilangkan alis dengan menggunakan cecair, pensel pewarna dan kosmetik lainnya berisiko tercemar atau berjangkit senyawa-senyawa logam berat di samping boleh menyuburkan parasit kulit.”

Artikel di atas dipetik dari sebuah laman akhbar tersohor negara seberang, iaitu Islam Pos. Seperti yang kita maklum, Islam melarang para wanita umatnya untuk mencukur atau mencabut kening kerana itu sudah dikira mengubah ciptaan Allah.

Hukumnya menurut syarak jelas, kemudian ada sekumpulan saintis cuba membuktikan pengharaman tersebut dengan kesihatan wanita. Apa yang dilaporkan oleh artikel tersebut memang suatu perkara baru.

Mengaitkan perbuatan mencabut alis dengan kanser payudara seperti yang dilaporkan itu sebenarnya sesuatu yang langsung tidak dijangka. Walau bagaimanapun, semua itu tidak mustahil dalam ilmu kedoktoran, apa sahaja boleh menjadi penyebab.

Haram dalam Islam mencabut bulu kening

Justeru, bagi mengetahui dengan lebih lanjut lagi akan sejauh mana betulnya artikel itu, Pakar Runding Bedah Payudara, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Norlia Abdullah memberikan penjelasan yang sewajarnya.

Tegas Dr. Norlia, artikel itu sebenarnya tidak dapat dibuktikan dengan kaedah saintifik. Segala yang tertulis mengenai kaitan mencabut bulu kening dengan kanser payudara adalah langsung tidak ada kena mengena dengan bidang kedoktoran. Tambahnya lagi artikel itu tiada logiknya dengan sebab dan alasan yang diberikan.

Dakwaan Dr. Husain Makki Jam’ah mengenai pencabutan bulu kening boleh mengakibatkan pembekuan darah di tempat tumbuhnya rambut. Darah yang membeku itu mengalir dan berhenti di sel-sel payudara itu adalah langsung tidak boleh diterima dan bukti yang tiada asasnya dalam bidang kedoktoran.

Kemudian Dr. Norlia, mempersoalkan pula mengapa darah yang mengalir itu hanya berhenti di sel payudara, sedangkan darah mengalir ke seluruh tubuh manusia?

“Kaitan yang diberikan dalam artikel di atas tidak ada asasnya dan sebab yang diberikan oleh penulis juga tidak konkrit. Jadi pada saya, ia satu artikel yang tidak berpandukan fakta dan ianya langsung tidak boleh diterima pakai.

Jika dilihat kepada artikel itu juga, kesan mencabut bulu kening sangat melampau, hingga menyebabkan kanser payudara, tiroid, masalah saraf dah sebagainya. Itu langsung tidak logik!

“Tidak ada kaitan antara pengeluaran hormon tiroid yang tidak menentu akan menyebabkan  kegemukan hasil daripada mencabut bulu kening. Apa yang boleh saya jelaskan, kedudukan kelenjar tiroid adalah di leher.

Manakala pengeluaran hormon tiroid sebenarnya bergantung pada hormon lain. Ianya ada berkait dengan kelenjar pituitari yang terletak di otak. Jadi dakwaan artikel tersebut yang mengatakan bahawa ia ada kaitan dengan mencabut bulu kening, silap! Tidak ada kaitan pun antara kedua-duanya dalam bidang perubatan,” tegasnya.

Bukan salah keturunan

Pada masa yang sama, Dr. Norlia turut menyangkal dakwaan masyarakat mengenai kanser payudara atau apa-apa kanser juga disebabkan oleh faktor keturunan. Sebenarnya maklumat itu salah, sebaliknya faktor genetik menyebabkan kanser payudara hanya lima peratus sahaja peluangnya.

Tiada kaitan cabut bulu kening dengan kanser payudara

Manakala 95 peratus lagi adalah disebabkan faktor lain seperti tidak mengandung seumur hidup bagi perempuan, mengambil pil perancang kehamilan sebelum mendapat anak pertama, mengambil makanan tinggi lemak, meminum alkohol dan lain-lain.

Meskipun kesan-kesan ekstrem itu tiada kaitannya dengan bidang kedoktoran, dan Dr. Norlia menyangkal sama sekali hujah yang diberikan oleh artikel di atas mengenai kesan perubatan terhadap mencabut bulu kening, tetapi perbuatan itu juga wajib ditolak oleh wanita Islam. Hukumnya dalam Islam sudah jelas tanpa perlu pembuktian saintifik.

Hadis Nabi s.a.w yang menegah akan perbuatan itu adalah jelas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud,

“Rasulullah s.a.w. telah melaknat wanita yang mencukur alis matanya dan yang meminta dicukurkan alis matanya.”

Menggunting alis atau merapikannya dengan mencukur bahagian-bahagian tertentu untuk memperindahkan kening seperti yang dilakukan sebahagian wanita hukumnya haram. Kerana hal itu termasuk mengubah ciptaan Allah dan mengikut syaitan yang selalu memperdayakan manusia supaya merubah apa yang asalnya dari Sang Pencipta. Janji syaitan untuk menyesatkan manusia termasuk mengubah ciptaan Nya disebutkan dalam surah surah an-Nisa’: 119,

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

Mengubah ciptaan Allah adalah perbuatan yang dilaknat oelh Allah

Hadis lain yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. mengenai larangan mencukur kening juga dari Imam Bukhari dan Muslim,

“Allah melaknat (tukang) yang memasang dan dipasang (si pemakai) rambut palsu, yang mencukur bulu kening dan dicukur bulu kening dan yang membuat tatu dan dibuatkan tatu”

Dari Ibnu Abbas memberitahu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

“Terlaknatlah orang yang menyambung (rambut) serta yang meminta untuk disambung rambutnya, orang yang mencukur kening dan orang yang mencukur kening dan yang meminta agar dicukur keningnya, orang yang mentatu dan orang yang meminta untuk ditatu, bukan kerana sakit.” HR Abu Daud

Oleh hal demikian, meskipun bidang saintifik tidak mampu membuktikan apa-apa kesan yang membahayakan kesihatan sehingga mengancam nyawa, namun sebagai umat Islam, kita mesti patuh pada ajaran agama. Sebarang usaha untuk menampakkan kecantikan diri terhadap orang ramai adalah ditegah, apatah lagi ianya sehingga mengubah ciptaan dari Allah S.W.T. Wallahu a’lam

___________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare