SALAM Sabtu semua, harap semua sihat-sihat sahaja. Sis harap yang duduk di kawasan banjir menjaga diri sebaik-baiknya dan kekal tabah lalui musim hujan ini – kayak kat Shopee dah habis stok, terkejut Sis. Tak sangka akan habis macam tu je..

Untuk minggu ini, Sis akan bincangkan situasi di Manchester United sekarang berdasarkan apa yang dikatakan oleh media di Britain tetapi Sis tak ada la nak percaya 100% sebab kadang-kadang dorang sembang je banyak.

Sis akan bercakap dari perspektif yang Sis nampak dan cuba menjadi seadil yang boleh berhubung isu ini. Sis tidak mahu melindungi pemain-pemain ini tapi pada masa sama cuba nak fikir dari perspektif mereka juga.

Ego-ego besar di Manchester United tak nak bertanggungjawab

Sejak beberapa tahun ini, Manchester United dah lalui tempoh “rebuild” melibatkan banyak pemain baru masuk untuk kuatkan skuad sedia ada. Mungkin ada yang dimasukkan untuk melaksanakan sistem atau taktik baru oleh jurulatih.

Ada  sesetengah pemain betul-betul bekerja keras untuk bermain tetapi ada pula  sesetengah ego dah tinggi daripada sebelum masuk pasukan lagi dan rasa macam dia orang ‘layak’ untuk dipilih sebagai  kesebelasan utama walaupun hantar bola macam tak main dua tahun setengah.

Mentaliti macam ini dah wujud sejak zaman Ole Solskjær – di mana pemain berasa macam dia orang akan main juga perlawanan seterusnya walaupun main teruk sebelum itu dan ia terbukti betul sebab Ole asyik pilih mereka.

Untuk Sis, ini bukan soal kena pilih ke tak, ini soal sama ada mereka ada rasa bertanggungjawab ke tidak ke atas prestasi yang teruk tu dan berusaha nak baiki diri tapi kalau tengok keadaan sekarang, sikap tu langsung tak ada.

Bila Rangnick masuk, dia tukar kepada sistem yang perlukan pemain bekerja keras, tiba-tiba media kat Britain mula kata semua pemain tak berkenan dengan taktik dia.

Pemalas.

Bila Sis tengok pemain dari kelab lain semua elok je pressing, Sis tak faham kenapa pemain-pemain Manchester United ni pemalas sangat nak lari, nak tackle bola.

Mungkin sebab dia orang dah biasa dengan corak permainan perlahan dan paru-paru dia orang masih susah nak kawal pernafasan sebab asyik berlari tetapi sebenarnya skuad sekarang lebih daripada cukup untuk bermain strategi pantas.

Disebabkan ego-ego dia orang ini, mereka tak nak berusaha lebih sikit untuk main betul-betul sebab dah selesa setiap minggu masuk gaji besar dalam akaun bank masing-masing. Mereka juga rasa macam tak nak buat sesuatu kalau rasa macam benda tu tak memberi apa-apa kebaikan kepada diri sendiri.

Aih, pastu piala tu tak penting ke? Memang main bola untuk duit ke macam mana? Kalau itu lah niat sebenar, orang yang macam itu tak layak untuk jadi pemain kat Manchester United – atau kelab mana-mana pun.

Kelab tak bekerja untuk pemain, pemain yang bekerja untuk kelab.

Kalau Sis jadi Richard Arnold (CEO MU), Sis potong gaji dia orang – kalau training sampai pukul 5 petang pun nak balik awal sebab ‘gelap’, buat apa bayar gaji banyak-banyak?

Susah bina skuad yang bagus kalau mentaliti dibelenggu dengan ego besar, kurang rasa tanggungjawab ke atas peranan diri sendiri dan mengambil kesempatan sebab dia orang main dengan kelab yang kaya.

Memang betul orang kata pemain bola zaman sekarang lebih mementingkan diri sendiri daripada satu pasukan.

Skuad berpecah belah menunjukkan pemain tiada profesionalisme

Ramai penyokong MU baca artikel media Britain berhubung keadaan pasukan kelab itu yang berantakan sebab ego-ego besar macam Ronaldo dan macam mana dia mempengaruhi kawan-kawan berbahasa Portugis.  

Sis sejujurnya kesian dekat Ralf Rangnick. Dia masuk tak sampai dua bulan dah ada masalah atas dan luar padang walaupun bukan sepenuhnya salah dia.

Masalah atas padang tu mungkin salah dia sebab tak tahu betul-betul lagi siapa yang patut bermain dan dia pun baru aje ambil orang bekerja dengan dia macam Chris Armas. Jadi Sis faham kenapa masalah tu boleh berlaku tapi sebenarnya masalah besar bukan dia, tapi pemain.

Ada juga yang kata Ronaldo antara salah satu daripada sebab kenapa pemain-pemain sekarang tak selesa.  Ada logiknya  sebab mungkin nama besar macam Ronaldo boleh menurunkan keyakinan pemain lain dan sikap dia yang selalu nak menang juga boleh memberikan tekanan kepada mereka.

Tak tahu lah pemain ni semua umur berapa sampai nak berpuak kat kantin macam zaman sekolah menengah.  Tingkah laku macam ni sebenarnya untuk Sis tak sepatutnya ada apa-apa kesan atas padang – sebab profesionalisme mesti kena ada.

Contoh lah korang kat pejabat, korang ada lah kawan-kawan yang korang pergi makan tengahari sekali tapi korang kena bekerja juga dengan pekerja lain sebab itu PEKERJAAN korang. Masa kat universiti pun Sis tak pernahlah ada masalah berkomunikasi dengan rakan lain masa buat assignment kumpulan.

Ini pemain mahal-mahal, beli sampai berjuta-juta, bayar gaji besar tapi tak ada etika dan mentaliti untuk berbaik dengan semua orang? Rakan sepasukan sendiri?

Ini menunjukkan betapa tak matangnya mereka.

Sebab tu lah Sis rasa Mourinho dan Ole kena buang atau berhenti. Pemain-pemain macam ni lah sanggup salahkan jurulatih tapi tak nak cermin diri sendiri.

Sis yakin Rangnick bukan jenis yang sesuka hati je dia orang boleh pijak. Sekarang ye lah dia baik minta tolong Mike Phelan uruskan masalah diva-diva ni, nanti dia dah rasa dia nak maki, Sis rasa dia buat je sebab kalau tidak, lagi susah dia nak kawal pemain-pemain ni kalau tak tunjuk ketegasan sebenar.

Tapi tak akan lah nak kena menjerit kat sekumpulan orang DEWASA semata-mata nak suruh buat kerja betul-betul?

Sis sebenarnya setuju dia orang diletakkan kat simpanan, lepas tu turunkan budak-budak muda dan pemain akademi. Sis yakin mereka  akan bermain bersungguh-sungguh sebab muda lagi dan tahu betapa bermaknanya main untuk kelab macam itu.

Rasanya budak-budak ni lagi profesional kot daripada pemain senior.

Untuk Sis, mana-mana pemain pun, kalau rasa macam susah sangat nak masuk training sampai pukul 5 petang sebab “gelap”, berhenti je lah, masuklah kelab lain.

Tapi tak ada satupun kelab dalam dunia yang mahu pemain yang MENGADU dekat media setiap kali rasa training kat kelab tu ‘susah’.

‘Susah’ tak nak, main nak.

Kita tengok aje lah dalam masa 8 hari ni macam mana keadaan di Manchester United dengan Mike Phelan dan Ralf Rangnick cuba menggabungkan semula skuad yang serba murung dan terasing ini.

Tak tahu lah kan, mana tahu suhu sejuk sangat ke apa ke. Nanti tertiba media Britain kata pemain MU mengadu ‘rumput terlampau hijau ke kan?

Kalau ada apa-apa komen, boleh hubungi Sis di [email protected] atau tulis di bawah perasaan korang pasal situasi di MU sekarang.

Salam Sabtu, Semua.