FOBIA. Perasaan takut yang berlebihan terhadap sesuatu. Ada pelbagai bentuk fobia yang wujud, malah ada antaranya yang dikategorikan sebagai pelik.

Salah satunya ialah fobia ‘Hippopotomonstrosesquippedaliophobia’. Pelik kan bunyinya? Sudahlah panjang, nak sebut pun susah. Fobia ini di mana individu yang mengalaminya akan berhadapan dengan rasa takut terhadap perkataan panjang.

Biar betul? Perkataan panjang pun nak takut? Memang kedengaran aneh, namun keadaan ini dilaporkan wujud. Ia dikenali secara tidak rasmi oleh Persatuan Psikiatri Amerika dan dianggap sebagai fobia sosial.

Laman sesawang fear of net melaporkan bahawa Hippopotomonstrosesquippedaliophobia sebenarnya terbahagi kepada beberapa bahagian. ‘Hippo’ bermaksud kuda dalam bahasa Yunani dan potam-os adalah sungai. Jadi, hippopotamus merujuk kepada badak air.

Sementara kamus Oxford menggunakan perkataan hippopotamine bagi menjelaskan sesuatu yang sangat besar. Perkataan ‘monstr’ berasal dari Latin iaitu makhluk besar atau sesuatu yang besar atau menakutkan. Manakala ‘sesquippedalio’ bermakna mengukur kaki dan setengah panjang. ‘Phobos’ pula diertikan sebagai ketakutan.

Dalam pada itu, fobia ini turut dikenali dengan nama Sesquipedalophobia. Dalam bahasa Latin, ‘sesqui’ bermaksud satu setengah manakala ‘pedal’ membawa makna kaki. Sementara  ‘phobia’ merupakan bahasa Yunani yang bererti ketakutan.

Individu yang menderita fobia jenis ini akan mengalami rasa cemas dan panik ketika berhadapan dengan perkataan-perkataan panjang. Perkara ini boleh terjadi sama ada melalui penglihatan atau pemikiran mereka.

Ketakutan melampau yang dialami boleh mengakibatkan fikiran mereka dipenuhi gambaran buruk. Ada kalanya membayangkan diri sedang berada dalam situasi yang memalukan. Malah, boleh juga menyebabkan penghidap fobia ini pitam atau pengsan kerana terlalu cemas.

Selain itu, gejala-gejala fizikal seperti gementar, berpeluh, sakit kepala, denyutan jantung laju atau pernafasan cepat juga termasuk sebagai tanda-tanda hippopotomonstrosesquippedaliophobia.

Apa punca kepada fobia ini?

Menurut sumber Healthline, hippopotomonstrosesquippedaliophobia boleh berlaku disebabkan oleh beberapa perkara. Antaranya seperti kesulitan mempelajari kata-kata bagi kanak-kanak sehingga menimbulkan panik apabila melihat perkataan yang panjang. Pembelajaran yang dirasakan sukar berisiko mengakibatkan trauma atau rasa takut kepada mereka.

Tidak hanya itu, seseorang yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang fobia terhadap sesuatu berkemungkinan memiliki peluang lebih tinggi dalam mengembangkan jenis fobia sama. Perubahan dalam aktiviti otak juga berpotensi memberi kesan ke atas fobia yang dialami.

Hippopotomonstrosesquippedaliophobia juga boleh dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Contohnya seperti mendengar pengalaman negatif mengenai fobia tertentu atau pengalaman trauma seseorang boleh menjadi penyumbang kepada wujudnya ketakutan melampau terhadap diri.

Walau bagaimanapun, fobia ini masih boleh dirawat dan ia dilakukan dalam pelbagai cara. Terapi Kognitif Tingkah laku atau CBT salah satu cara yang biasa digunakan dalam merawat fobia. CBT bertindak menangani masalah berkaitan emosi dan tingkah laku individu. Selain itu, ia turut memberi fokus bagi menggantikan bentuk pemikiran dan sikap negatif kepada positif.

Secara umumnya, ubat-ubatan berpotensi sebagai cara untuk mengatasi kebimbangan atau gangguan kecemasan. Namun begitu, tidak banyak yang diketahui mengenai keberkesanannya dalam merawat fobia-fobia tertentu.

Selain ubat, individu yang terlibat juga digalakkan menjalani terapi percakapan dengan pakar psikiatri atau kaunselor. Malah, menyertai kumpulan sokongan untuk berkomunikasi dengan orang lain yang mengalami fobia serupa adalah antara alternatif yang boleh dilakukan. 

Disebabkan sering panik apabila berhadapan dengan perkataan-perkataan panjang, individu itu digalakkan untuk  mendedahkan diri dalam situasi tersebut secara beransur-ansur.

Bermula dengan hanya melihat, kemudian memasuki fasa untuk memikirkan kata-kata panjang dan akhirnya menyebut perkataan tersebut. Pendedahan sedikit demi sedikit ini membantu mengurangkan rasa cemas sehingga mereka dapat menyesuaikan diri, seterusnya mampu untuk menghadapi perkataan panjang dengan yakin.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen