CUBA bayangkan jika kisah yang anda baca dalam novel menjadi kenyataan? Apakah ia ramalan atau sekadar kebetulan?

Kejadian aneh ini dilaporkan berlaku lama dahulu. Edgar Allan Poe merupakan seorang penulis novel jenayah dan misteri. Pada tahun 1838, beliau menghasilkan karya cereka panjang berjudul ‘The Narrative of Arthur Gordon Pym of Nantucket’.

Selepas tulisanya itu diterbitkan, karya Edgar mendapat kritikan negatif kerana didakwa menghasilkan novel tidak bermutu.

Novel berkenaan menceritakan tentang pelayaran Arthur Gordon Pym bersama sekumpulan kelasi kapal. Suatu hari, berlaku perbalahan dalam kalangan mereka disebabkan rasa tidak puas hati antara satu sama lain. Pemberontakan yang terjadi mengakibatkan kapal bernama ‘Grampus’ itu dirampas dan mengorbankan hampir kesemua anak kapal.

Arthur yang masih hidup mula menyusun strategi untuk merampas semula kapal tersebut bersama dua orang rakan yang terselamat iaitu Dirk Peters dan Augustus.

Usaha mereka berhasil apabila berjaya menakluk kembali Grampus dan membunuh kesemua penentang lain. Mayat-mayat yang bergelimpangan dibuang ke dalam laut. Rupa-rupanya, masih ada seorang pemberontak yang tertinggal iaitu Rirchard Parker. Nasibnya baik kerana pada waktu itu, dia diterima sebagai awak kapal untuk membantu pelayaran mereka.

Lalu, Arthur dan kumpulannya bergerak meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Pelayaran yang mengambil masa lama menyebabkan mereka kehabisan bekalan makanan. Mereka berempat terpaksa menahan lapar selama berhari-hari tubuh mereka tidak lagi berdaya. Destinasi yang dituju pula masih jauh.

Selepas menemui jalan buntu, keputusan diputuskan dengan cara salah seorang daripada mereka harus menjadi korban untuk dijadikan sebagai bekalan makanan.

Mereka merancang untuk membunuh Rirchard Parker dan dijadikan sebagai makanan. Akhirnya, mangsa mati diratah akibat perbuatan kanibal ketiga-tiga individu tersebut. Begitulah sebahagian daripada sinopsis novel yang ditulis oleh Edgar Allan Poe.

Novel karya Edgar ini awalnya dikritik.

Siapa sangka penceritaan dalam novel tersebut berlaku secara realiti pada tahun 1884. Seorang kapten yang dikenali dengan nama Tom Dudley melakukan pelayaran bersama tiga individu menaiki kapal Mignonette. Dalam pelayaran tersebut, Dudley dibantu oleh dua orang rakan dan seorang remaja lelaki yang bekerja di kabin kapal.

Perjalanan menuju ke Australia dari pelabuhan Southampton itu secara tiba-tiba dilanda badai ketika berada di pertengahan laut. Peristiwa itu mengakibatkan kapal mereka karam sekali gus menenggelamkan semua barang. Mereka berempat sempat berpaut pada sebuah perahu dan berada dalam keadaan sehelai sepinggang.

Tiada bantuan, tiada peralatan dan bekalan makanan. Lokasi yang dituju pula masih jauh. Mereka terpaksa mengikat perut untuk menahan lapar.

Keadaan darurat tanpa bekalan menyebabkan mereka bertindak untuk mengorbankan salah seorang ahli. Keputusan berkenaan sememangnya sukar namun tiada pilihan demi bertahan sampai ke destinasi yang dituju.

Satu hari, remaja lelaki yang merupakan awak kapal meminum air laut bagi menghilangkan dahaga. Namun, disebabkan rasa haus yang melampau, dia minum air berkenaan dalam kuantiti yang banyak.

Selepas beberapa ketika, remaja tersebut mula tidak sedarkan diri. Keadaan itu menjadi peluang keemasan buat mereka yang lain untuk membunuh sasaran. Tanpa belas kasihan, daging remaja itu diratah untuk mengatasi kebuluran mereka. Mayat remaja dikatakan cukup menjadi bekalan mereka sehingga tempoh satu bulan.

Akhirnya, ketiga-tiga mereka diselamatkan oleh sebuah kapal yang kebetulan melalui kawasan mereka terapung. Biarpun sudah selamat, perasaan bersalah tetap timbul dalam diri Dudley dan rakan-rakan. Lalu mereka bertiga membuat pengakuan mengenai pembunuhan yang telah dilakukan.

Sebagai hukuman, mereka diarahkan untuk melakukan kerja paksa selama tempoh enam bulan. Peristiwa itu membuatkan Kapten Tom Dudley digelar sebagai Tom Kanibal.

Edgar Allan Poe, penulis novel yang kemudian menjadi kenyataan.

Kejadian itu menimbulkan tanda tanya terhadap orang ramai apabila mengetahui kisah tersebut pernah diwujudkan dalam sebuah novel. Sejak itu, Edgar Allan Poe dikatakan sebagai individu yang mampu melihat masa depan berikutan ramalan kisah tulisannya yang menjadi realiti.

Lebih memeranjatkan, remaja yang dibunuh oleh Kapten Dudley dan dua rakannya juga dikenali sebagai Rirchard Parker. Namanya sama dengan watak yang dikorbankan dalam novel Edgar.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen