Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam di negeri Selangor agar memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat mengenai gejala rasuah yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri Selangor bertarikh 7 Januari 2022.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, rasuah adalah sangat berbahaya dan bala besar yang mesti dibanteras oleh pemerintah dengan mengenakan hukuman yang lebih tegas agar orang ramai menjadi gerun dan takut. 


Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda menegaskan rasuah sesuatu yang memudaratkan masyarakat dan orang Islam selain meletakkan pengurusan dan pentadbiran menjadi tidak stabil.


Titah baginda, rasuah berlaku dalam semua urusan termasuklah urusan kehakiman, tanah, percukaian, zakat dan lain-lain, malah dalam perkara yang melibatkan agama dan orang agama. 


“Oleh itu, Allah mengharamkan rasuah dan melaknat pelakunya kerana bahayanya yang besar, maka tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh mengambilnya. 


“Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh juga seseorang pegawai mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga darinya,” titah baginda.


Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam di negeri Selangor agar memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat mengenai gejala rasuah yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri Selangor bertarikh 7 Januari 2022.


Memetik antara isi penting khutbah berkenaan, baginda bertitah, amalan rasuah juga melibatkan orang-orang agama, sedangkan mereka mengetahui hukumnya haram dan berdosa besar tetapi kerana habuan dunia itu mengasyikkan maka hilanglah sikap amanah, jujur dan keikhlasan yang tertanam dalam sanubari selama ini.


Tegas baginda, orang yang diharapkan dapat menjaga maruah diri dan agama bahkan sentiasa menyeru masyarakat dalam melakukan kebaikan boleh hanyut dan melanggar larangan Allah SWT.


“Oleh itu, baginda bersetuju dengan saranan di dalam khutbah berkenaan agar rasuah mestilah dibanteras oleh pemerintah dengan mengenakan hukum yang lebih tegas agar mereka menjadi gerun dan takut. 


“Dalam menangani kes rasuah pemerintah hendaklah lebih terfokus kepada langkah pencegahan sebelum terjadinya kes jenayah rasuah tersebut,” kata kenyataan itu lagi.


Sementara itu, kenyataan tersebut berkata,Allah menceritakan dalam al-Quran bahawa ada seorang alim, mereka mengakui kebenaran Muhammad SAW, tetapi disebabkan rakus terhadap dunia, mengikut hawa nafsu, ingin kekuasaan dan kekayaan, syaitan telah menggoda mereka hingga tergelincir dari agama yang benar.


“Ingatlah, orang yang alim apabila dia derhaka kepada Allah, Allah umpamakan dia seperti anjing seperti yang dinyatakan dalam surah Al- A’raf ayat 176,” tambah kenyataan itu lagi.