KISAH dari mahkamah syariah yang dipaparkan dua minggu lepas berjudul `Mahkamah Syariah Tolong Jangan Seksa Ibu Tunggal’ mendapat pertanyaan daripada pembaca yang rata-rata melahirkan rasa tidak puas hati dengan pengalaman pahit mereka sendiri apabila kes dibawa ke mahkamah syariah. 

Rasa tidak puas hati itu sudah pasti datang dari ibu-ibu tunggal. Mereka bukan setakat menyokong, malah mengharapkan lebih banyak rencana dipaparkan dalam DCCK menceritakan keluhan ibu tunggal dengan mahkamah syariah. 

Sebenarnya, rasa tidak puas hati ini datangnya dari ibu-ibu tunggal yang masih muda. Sudah pasti mereka tidak mengikuti kisah yang pernah penulis paparkan sejak beberapa tahun lalu. Mungkin ketika itu mereka masih remaja, masih menuntut atau masih kecil dan tidak mengerti langsung tentang pahit maung alam rumah tangga.  

Apa yang mereka sering dengar ialah ucapan manis selepas berkahwin daripada saudara-mara dan teman-teman mendoakan berbahagia hingga ke Jannah. Langsung tidak menggambarkan bahawa alam perkahwinan ini sama seperti sedang berlayar di lautan. Ada ketikanya tenang dan ada masanya dilambung ombak ganas. Jika kurang arif menguruskan bencana, pasti kapal terhempas ke pantai, lebih malang jika terhempas pada batu karang. Tidak boleh diselamatkan lagi, demikianlah dengan kehidupan dalam alam berumah tangga. 

Untuk pengetahuan pembaca muda yang biasanya umur belum mencecah 40 tahun, jangan fikir masalah yang dihadapi oleh ibu tunggal dengan mahkamah syariah baru berlaku sekarang atau paling lama 10 tahun lalu. Sebenarnya lebih lama daripada itu, 30 tahun lalu. 

Article DCCK pada tahun 1992

Saya mula menulis tentang masalah wanita yang diceraikan sejak tahun 70-an lagi, kemudian pada tahun 1980 ketika permulaan DCCK dipaparkan, ketika itu tak siapa tahu tentang perkataan ibu tunggal, wanita yang bercerai dipanggil janda. 

Apa yang menyedihkan, ramai janda ketika itu tidak mahu mengaku janda, sebab malu dengan gelaran tersebut. Malah ada yang sanggup diseksa, dipukul dan sebagainya tetapi masih tidak mahu bercerai kerana panggilan janda. Masalah ini menyebabkan ramai  janda menghadapi masalah tekanan jiwa dan teraniaya, tak kurang juga yang tidak mendapat nafkah anak-anak daripada bekas suami. Mereka ditinggalkan dengan beban menyara anak-anak. 

Ketika itu ramai yang tidak pernah tahu apa itu nafkah yang mereka boleh tuntut daripada bekas suami. Apatah lagi tuntutan hadanah, mutaah dan harta sepencarian yang merupakan sesuatu benda baru dalam hidup mereka. 

Nasib wanita yang diceraikan ketika itu amat malang, mereka terpaksa berkorban berhempas pulas mencari rezeki sendiri demi membesarkan anak dengan bekerja menjadi tukang masak, pembantu rumah, mengambil upah mencuci pakaian dari rumah ke rumah, dan jika ada sedikit modal, mereka akan berniaga secara kecil-kecilan di hadapan rumah. 

Kepada janda-janda yang tidak berani menghadapi cabaran tinggal sendirian setelah diceraikan, mereka kembali ke kampung dengan membawa bersama anak-anak. Maka ibu bapa mereka yang terpaksa berhempas pulas menyara anak-anak mangsa cerai ini, walaupun sepatutnya menjadi tanggungjawab bekas suami dan ibu bapa bekas suami, bukan ibu bapa wanita tersebut. Kehidupan menjadi lebih terseksa jika wanita ini datang daripada keluarga miskin. 

Demikianlah nasib janda-janda zaman itu, sayangnya tidak ada tokoh agama, ustaz, apalagi tuan-tuan kadi atau mereka yang arif tentang hukum hakam mahu menasihatkan kaum lelaki  tentang tanggungjawab mereka dalam memberi nafkah anak.

Malangnya, sehingga hari ini pun, kita tidak pernah dengar nasihat daripada ustaz, tokoh agama apa lagi hakim mahkamah menasihatkan kaum lelaki bahawa tugas memberi nafkah itu tanggungjawab seorang ayah, dan kalau dia kurang mampu, sebagai contoh tidak bekerja, maka tugas itu mesti dipikul oleh ibu bapa ataupun adik beradik sebelahnya, bukan ibu bapa si janda tadi.  

Kerana kurang nasihat, takut beri nasihat, takut tak popular atau mungkin takut dikecam oleh kaum lelaki, maka golongan bijak pandai agama ini termasuk hakim mahkamah tidak mahu nasihatkan kaum lelaki tentang tugas dan amanah hakiki seperti ketentuan Allah. 

Sebenarnya penulis telah membicarakan kes tuntutan nafkah ini sejak tahun 1980-an lagi, tetapi tidak pernah mendapat perhatian daripada cerdik pandai agama untuk menasihatkan kaum bapa. Sehinggalah wujudnya mahkamah syariah, keadaan tetap sama sehingga hari ini. 

Kerana simpati selain bertujuan menguatkan semangat janda-janda ini, penulis telah mengubah panggilan janda ini kepada Ibu Tunggal. Yang bertujuan untuk beri semangat dan sokongan kepada mereka ini bahawa jangan takut dan malu bergelar janda, sebaliknya merekalah ibu tunggal yang gigih berhempas pulas membesarkan anak-anak sendiri. 

Biarpun ketika mempopularkan panggilan ibu tunggal, penulis sentiasa dikecam oleh kaum lelaki yang menuduh penulis sendiri seorang `janda gila talak’, tak kurang juga mendakwa penulis bermadu, kerana sentiasa menulis tentang ibu tunggal, kerana penulis sendiri janda. Demikian tuduhan mereka.

Tak kurang juga yang memanggil dan menggelarkan penulis dengan pelbagai gelaran yang menyakitkan telinga seperti  “Berok Tunggal, B*&^ Tunggal’’ dan macam-macam, tetapi panggilan dan ejekan tersebut tidak pernah memadamkan semangat penulis untuk membela nasib ibu tunggal yang tidak mendapat nafkah daripada bekas suami. 

Pada tahun 1990, penulis mula mengumpulkan dan bertemu dengan beberapa orang ibu tunggal untuk menubuhkan sebuah persatuan khas untuk membela nasib mereka. Pada mulanya, memang tidak ramai berani tampil ke depan sebab masih malu dikenali sebagai janda. 

Bagi mengukuhkan lagi semangat ibu ibu tunggal. Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) menganjurkan Bengkel Motivasi Ibu Tunggal pada tahun 1994 di dewan seminar Bangunan DBKL , jalan Raja Laut.

Bagaimana pun akhirnya usaha penulis berjaya menubuhkan Kumpulan Ibu Tunggal. Tetapi  kemudian atas permintaan golongan ini sendiri, nama telah ditukar menjadi Kelab Ibu Tunggal (KIT).

Langkah pertama KIT mengadakan ceramah undang-undang khas untuk golongan ibu tunggal yang berlangsung di hotel Holiday Inn City Center di Jalan Raja Laut.  

Penulis mengundang peguam sharie Rubiah Jaafar untuk menerangkan kepada mereka tentang hak-hak mereka mengikut Islam, tentang tuntutan nafkah, yang selama ini mereka tidak pernah tahu. Apa yang mereka mungkin dapat hanyalah sedekah daripada bekas suami dan keluarganya. Seolah-olah setelah bercerai, maka anak-anak bukan lagi menjadi tanggungjawab dan amanah bekas suami. Sebaliknya menjadi tanggungjawab bekas isteri. 

Puan Rubiah Jaafar seorang peguam sharie (kiri) menerangkan tentang hak2 ibu tunggal untuk buat tuntutan nafkah. Penulis sebelah kanan.

Sambutan memang menggalakkan, dan seterusnya beberapa siri ceramah diadakan dengan mengumpulkan ibu tunggal untuk berbincang dan mendengar masalah mereka berhubung tuntutan nafkah daripada bekas suami masing-masing. 

Dalam pertemuan itu, Kelab Ibu Tunggal (KIT) telah mengusulkan dua isu besar untuk diketengahkan dan perjuangkan bagi mendapat perhatian pihak mahkamah syariah dan kerajaan iaitu: 

  1. Mentetapkan undang undang sebaik sahaja suami melafazkan cerai, maka Hakim menetapkan bekas suami mesti terus bayar nafkah anak anak. (tidak perlu tunggu bekas suami didakwa di mahkamah). Tetapi kalau salah satu pihak tidak puas hati dengan kadar yang ditetapkan, maka mereka boleh tuntut lebih atau membantah, maka mereka boleh teruskan ke mahkamah syariah kemudian.  
  2. Menyediakan tempat penjagaan kanak kanak, sementara ibu ibu tunggal pergi bekerja dengan mengenakan kadar bayaran  yang minimum. 

Keputusan perjumpaan tersebut amat penting, kerana selepas diceraikan, biasanya bekas suami bersikap lepas tangan, menghilangkan diri, ada juga yang terus tinggalkan bekas isteri untuk menyara anak-anak. Ini bukan sahaja tidak adil, sebaliknya bekas suami tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanah Allah s.w.t 

Oleh kerana tidak ada duit, ramai antara ibu tunggal yang dahulunya suri rumah sepenuh masa terpaksa keluar bekerja dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah. Demi keselamatan anak-anak inilah, maka KIT mencadangkan tempat penjagaan anak-anak ibu tunggal sama ada di jabatan kerajaan, kilang kilang mahupun syarikat swasta. 

Selepas penubuhan KIT, barulah tumbuh beberapa buah persatuan untuk membela nasib ibu tunggal seperti Persatuan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan/Selangor. 

Kelab Ibu Tunggal terus diperkenalkan, dan ketika penulis menjadi Ketua Dua Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), kami menganjurkan Bengkel Motivasi Ibu Tunggal untuk memperkasakan semangat ibu tunggal. Bengkel berlangsung di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1994 yang dirasmikan pembukaannya oleh Datin Sri Azizah Ismail yang ketika itu isteri kepada Timbalan Perdana Menteri. 

Sebahagian daripada ibu tunggal yang berdialog dengan Puan Rubiah tentang keraguan mereka dalam tuntutan nafkah anak. Majlis berlangsung di sebuah hotel di jalan raja laut. Tahun 1992.

Pendek kata, perjuangan memperkasakan ibu tunggal bermula tahun 80-an lagi. Tetapi setelah wujudnya Mahkamah Syariah dan paling ramai mendapat keuntungan adalah peguam-peguam yang membela nasib ibu tunggal dan peguam yang membela bekas suami yang tetap enggan membayar nafkah anak-anak mereka sendiri. 

Kepada ibu tunggal yang bekerja dan mempunyai kedudukan kawangan yang kukuh mereka boleh mengambil peguam, tetapi malanglah nasib ibu tunggal yang tidak berduit, perjuangan mereka berakhir di tengah jalan disebabkan kesusahan mereka ke mahkamah dan kecewa dengan sikap suami dan mahkamah yang didakwa terlalu banyak menyebelahi bekas suami. 

Jika difikirkan secara mendalam, bekas suami lebih rela dan berhabis untuk membayar yuran peguam bela mereka yang bernilai beribu-ribu ringgit daripada menyara dan membayar nafkah anak-anak sendiri. Adakah ini adil?

Penulis menyampaikan sumbangan kepada seorang ibu tunggal selepas merasmikan penubuhan Pertubuhan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor 9.

Walaupun perjuangan ini telah lama berlangsung, tetapi amat malang kepada kebanyakan ibu tunggal kerana mereka masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Sehingga ada yang sudah bercerai lebih 10 tahun, tetapi bekas suami masih enggan bayar nafkah, malah masih sanggup habiskan duit membayar yuran peguam daripada memberi anak-anak makan. 

Oleh kerana menjadi matlamat perjuangan penulis dan ibu tunggal lainnya mengharapkan satu undang-undang dibuat oleh Jabatan Kehakiman supaya ditetapkan apabila suami ceraikan isterinya, maka mulai bulan tersebut dia wajib bayar nafkah anak-anak mengikut budi bicara hakim. Tetapi jika salah satu pihak, baik baik ibu tunggal atau bekas suami tidak setuju dengan ketetapan itu, maka dia boleh membawa bicara ke mahkamah kemudiannya.  

Apa yang penting bekas suami sudah bayar  nafkah. Maka tidak perlu lagi si ibu terus menuntut ke mahkamah sehingga enam ke 10 tahun tetapi masih belum dibayar oleh bekas suami. Malah mereka boleh melarikan diri daripada hadir ke mahkamah.  

Tetapi jika undang-undang ditetapkan, kalau nafkah tidak dibayar, maka akaun bank bekas suami dibekukan mungkin mereka tidak berani melarikan diri. Dan Hakim mesti menasihatkan bekas suami bahawa tugas memberi nafkah anak-anak adalah taunggungjawab ayah bukan ibu.