DI tebing Sungai Nidd, berhampiran bandar Knaresborough di North Yorkshire, England, wujud sebuah telaga aneh. Sejak zaman dahulu, penduduk tempatan percaya telaga ini telah disumpah oleh roh-roh jahat sehingga segala benda yang menyentuh airnya akan berubah menjadi batu.

Telaga ini yang dikenali sebagai Petrifiying Well merupakan salah satu lokasi pelancongan tertua di England. Ramai yang datang dari jauh semata-mata mahu melihat sendiri fenomena aneh yang berlaku di telaga ini.

Apa saja yang berada di sekitar telaga ini baik daun, ranting, bahkan burung mati, hampir semuanya berubah dan mengeras umpama batu. Bentuk telaga yang seperti tengkorak gergasi turut menguatkan kepercayaan orang ramai bahawa apa pun yang menyentuh air di situ akan berubah menjadi batu.

Petrifiring Well, telaga yang merubah objek menjadi batu.

Berabad-abad lamanya fenomena aneh itu dilingkari dengan mitos kisah sumpahan tersebut. Apatah lagi yang datang ke situ menyaksikan sendiri pelbagai barang seperti anak patung, tongkat, cerek, basikal, stoking dan kasut dikatakan perlahan-lahan bertukar menjadi batu hanya dalam masa beberapa minggu.

Selain itu, topi Victoria yang ditinggalkan di situ dari tahun 1853 yang menjadi batu juga boleh dilihat sampai ke hari ini.

Topi Victoria di telaga ini.

Seorang pengunjung bernama Monty White dalam laman webnya menyatakan, dia mendapati proses untuk setiap objek yang bertukar menjadi batu adalah berbeza-beza.

Pada pendapatnya, benda yang tidak berliang seperti topi mungkin mengambil masa sehingga 18 bulan sebelum bertukar menjadi batu. Manakala objek berliang besar seperti patung beruang pula dikirakan berubah hanya sekitar enam hingga 12 bulan.

Telaga kuno ini dahulunya dikenali sebagai Dropping Well. Penduduk percaya bahawa kuasa jahat telah menyihir tempat itu menyebabkan air telaga itu akan merubah apa pun di sekitarnya menjadi batu.

Dikatakan pada zaman dulu, orang-orang yang pernah melihat proses itu hidup dalam ketakutan sehingga tiada seorang pun yang berani mendekati apatah lagi menyentuh air telaga tersebut.

Cerita tentang keanehan telaga ini telah disangkal oleh seorang lelaki Inggeris bernama John Leyland. Bantahan itu bermula selepas King Henry VII menugaskan beliau untuk meneroka dan meneliti fenomena aneh itu pada tahun 1538.

Daripada pemerhatian yang dijalankan, Leyland tidak menemui sesuatu yang pelik pada air telaga itu. Sebaliknya memberitahu bahawa air tersebut sebenarnya mempunyai khasiat untuk menyembuhkan penyakit. Kenyataannya itu turut dipersetujui oleh sebahagian ahli saintis moden. Penemuan itu membuatkan ramai orang berpusu-pusu ke situ untuk mandi dan meminum air telaga itu kerana percaya memiliki kuasa penyembuhan.

Pada tahun 1630, King Charles I menjual Petrifying Well dan tanah di sekitarnya kepada seorang lelaki tempatan bernama Sir Charles Slingsby. Pada masa itu, Petrifying Well sudah pun terkenal dan Slingsby bercadang mahu mewujudkan program lawatan ke tempat itu kepada orang ramai. Ideanya itu tanpa disedari telah menarik lebih ramai pengunjung luar datang ke England.

Sejak popular, ramai ilmuwan tampil untuk memecahkan misteri air telaga ini. Namun, tiada satu pun kepastian yang diperoleh untuk menjelaskan tentang keadaan itu. Hanya dalam tempoh 150 tahun terakhir ini, analisis saintifik sampel air mendedahkan keajaiban itu adalah disebabkan proses petrification.

Dalam bidang ilmu geologi, petrification atau petrifaction ialah proses di mana bahan organik menjadi fosil melalui penggantian bahan asal dan mengisi ruang liang asal dengan mineral. Petrification berlaku melalui gabungan dua proses yang serupa iaitu permineralization dan penggantian. Proses-proses ini kemudian menghasilkan replika spesimen, serupa dengan yang asal.

Dalam kes Petrifying Well, air telaga di situ didapati mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi yakni. Apabila larutan mineral dari bawah tanah ini dibiarkan mengalir dan mengisi liang serta rongga spesimen selama satu minggu atau sebulan, objek itu secara semula jadi diselaputi mineral atau berupa molekul batu.

Berbanding dengan stalaktit atau stalagmit, proses petrification dikatakan berlaku dengan sangat cepat. Yang pasti, proses itu merupakan fenomena semula jadi dan tiada kaitan dengan kuasa sihir seperti mitos yang diperkatakan.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare