gadis berniqab mengundang fitnah
Sekadar gambar hiasan

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak wanitamu, dan isteri-isteri orang beriman, ‘Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab [33]: 59)

………………………………………

Disebalik wajah yang terlindung, menarik keinginan untuk mengetahui siapakah gerangannya si gadis niqabis. Bagi si jejaka, keinginan hati meminta-minta ingin melihat wajah disebalik secebis kain itu. Si gadis niqabis, sentiasa menjadi idaman sang lelaki yang mengimpikan isteri solehah yang sejuk di mata, tenang di hati.

Harapan mereka, biarlah keindahan wajah si isteri hanya ditatap olehnya. Apatah lagi, apabila wajah itu menyebabkan ramai lelaki lain yang berkeinginan untuk mengenalinya.

 Firman Allah dalam surah al-Nur: 31,”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepada mereka”

Menurut ulama’ tafsir, maksud yang biasa nampak dalam ayat ini ialah muka dan kedua tapak tangan. Dari ayat ini jelas menunjukkan bahawa maksud aurat wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Namun begitu, terdapat trend hari ini, wanita menutup mukanya dengan kain yang diberi nama niqab. Tujuannya mungkin untuk tidak menarik perhatian orang lain dengan cara menutup wajahnya, tetapi berlaku di sebaliknya, golongan wanita yang mengenakan niqab lebih menjadi tumpuan dan meninggalkan rasa kecenderungan terutama golongan lelaki untuk lebih tahu siapakah di sebalik tutup wajah itu.

Para niqabis kini, lebih menjadi tumpuan mereka untuk dijadikan bahan usikan. Pemikiran nakal ini, sentiasa membawa kepada bayangan yang mengotorkan. Pelik bukan? Masakan seorang wanita yang cukup menjaga tubuhnya masih menjadi bahan kotoran pada pemikiran si kasanova.

“Eleh! memang pakai niqab, tapi tengoklah, mata tu berhias bukan main lagi. Niqabis sekarang, selalu sangat ‘upload’ gambar selfie dalam media sosial untuk tarik perhatian.”

Itulah antara luahan yang keluar dari mulut si lelaki. Tetapi, bukanlah semua niqabis yang berkelakuan sedemikian. Masih ada lagi yang menjaga dirinya sebagai seorang niqabis. Disebabkan nila setitik habis rosak susu sebelanga.

Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Fariza Md. Sham, asas menutup aurat bagi seorang wanita Muslim adalah wajib, dan haram membukanya kepada lelaki ajnabi.

Jika niat memakai niqab untuk menarik perhatian dan mengundang fitnah lebih elok dibuka

Kewajipan tersebut telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah al-A’raf: 26 “Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.”    

2 Pendapat Berbeza                

Namun, setakat mana aurat yang dituntut? Terdapat dua pendapat mengenai aurat seorang wanita berdasarkan perbincangan oleh Syeikh Abu Malik dan Kamal Bin As-Sayid Salim dalam Ensiklopedia Fiqah Wanita Muslimah. Para ulama bersepakat bahawa wajib untuk menutupi seluruh badannya.

Perbezaan hanya berlaku pada wajah dan kedua tapak tangan. Pendapat pertama, telah mewajibkan wanita untuk menutup seluruh auratnya termasuk wajah dan tapak tangannya. Pendapat ini berpegang kepada beberapa rujukan dalil mereka,

“Jika kamu meminta suatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi) maka mintalah dari belakang tabir.”  (al-Ahzab: 53)

Namun, sebahagian lagi ulama berpendapat bahawa boleh wanita membuka wajah dan kedua-dua tapak tangannya. Menutupinya hanya digalakkan bukanlah wajib. Ini berdasarkan rujukan dalil surah al-Nur: 31

“Janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak darinya.”

Dr. Fariza menjelaskan, aurat ke atas wanita Muslim adalah menutup seluruh anggota badannya kecuali yang biasa nampak padanya (wajah dan dua tapak tangan). Namun, apa yang dilakukan oleh si niqabis ini melebihi dari apa yang disyaratkan oleh Islam.

Walaupun begitu, ianya tidak salah dan dibolehkan dalam Islam. Tetapi, haruslah berbalik kepada niat asal kita berniqab. Niqab bukanlah satu ‘trend’ mahupun fesyen. Jika kita menganggap ia sebahagian dari fesyen pakaian hari ini, eloklah dibuka kerana bimbang ia menjadi fitnah kepada si pemakai dan juga agama.

Kenapa Buka Yang Ditutup?

Norma-norma masyarakat beranggapan, wanita yang memakai niqab ini adalah seorang yang bertakwa dan solehah. Dek kerana pemakaian itu, pemikiran mereka melihat dan mencerminkan si pemakai sebagai mempunyai tingkah laku, perbuatan dan perkataan yang baik.

Tanggapan positif itu menjadikan niqabis ini sentiasa dihormati dan bukan menjadi bahan usikan oleh kaum Adam. Namun, ia berbalik kepada awalnya iaitu niat. Hanya si pemakai sahaja yang tahu niatnya untuk berniqab.

Ujar Dr. Fariza, jika niat memakainya adalah baik, maka persepsi masyarakat juga baik, tetapi jika sebaliknya ia juga berubah kepada sebaliknya. Benarlah, setiap amal itu bergantung kepada niat.

Niat yang baik pasti amalnya juga baik. Jika berniqab atas dasar trend mahupun fesyen sudah pasti ia akan mengundang persepsi negatif kepada orang lain. Dek kerana itu, kaum Adam tidak lagi segan silu untuk bertegur mahupun mengusik niqabis ini.

Menjaga aurat hukumnya wajib dalam Islam

Atas tujuan apa menutup wajah dari dilihat umum, sedangkan dirinya sahaja sudah menjadi penarik. Ya! Itulah yang berlaku hari ini. Berniqab, tetapi berpakaian tabarruj, memakai wangian yang melampau dan gemar muat naik gambar di laman sosial.

Apakah tujuan untuk memuat naik gambarnya? Apatah lagi gambar tersebut fokus terus kepada matanya. Adakah mahukan pujian?

 “Jika kita bersedia untuk menutup wajah dari tatapan umum, janganlah kita sengaja mendedahkannya pula. Niqabis yang berlebih hiasnya dan memuat naik gambar di laman sosial lebih mengundang rasa ingin tahu kepada masyarakat terutamanya lelaki.

Jaga Pandangan Mata

“Berniqab adalah untuk menutup, namun harus diingat pandangan mata perlu lebih dahulu ditunduk. Perkara tersebut telah diterangkan di dalam surah al-Nur: 31,

“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir baginya.”

“Perkara pertama yang disebut dalam ayat itu adalah wanita beriman hendaklah ‘menahan pandangan’ mereka kerana kejahatan bermula dari mata. Jika pandangan mata tidak dijaga dan dihias dengan solekan tebal sehingga menarik perhatian lelaki maka sia-sia sahaja secebis kain yang menutup wajah itu,” jelas Dr. Fariza.

Tambahnya lagi, berniqab bukanlah budaya masyarakat Malaysia. Ia merupakan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Arab. Ini kerana faktor cuaca setempat yang menuntut mereka untuk berniqab, selain untuk melindungi wajah yang cantik daripada pandangan nakal lelaki.

Malah, Dr. Fariza tidak bersetuju dengan pendapat segelintir niqabis yang beranggapan dengan menutup wajah mereka, adalah cara untuk mereka menutup perasaan malu dan kurang keyakinan diri ketika bermuamalat dengan masyarakat. Wallahu a’lam

___________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare