Perhimpunan Agung UMNO 2020

Oleh: MUHAMMAD ADI PUTERA

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dikatakan akan diadakan dalam masa terdekat.

Ramai pemerhati dan penganalisis politik meramalkan PRU-15 akan dilaksanakan selepas pembentangan Bajet 2023 (Lazimnya pembentangan bajet dilaksanakan pada hari Jumaat terakhir bulan Oktober – 28 Okt).

Sempena PRU-15 ini nanti, pemilih berdaftar Undi18 akan turut terlibat dalam mencorak landskap politik negara.

Persoalan utama, adakah UMNO masih relevan? Elok kita mengimbas parti dominan di Semenanjung yang berteraskan bangsa Melayu seperti UMNO, Bersatu, Pas, Amanah, Pejuang dan PKR (walaupun PKR sebenarnya multi-racial tetapi majoriti Melayu).

Jika ini sahaja yang ada untuk pemilih berdaftar Melayu membuat pilihan, tidak syak lagi UMNO kekal relevan semalam, kini, esok dan selamanya. Asal usul kelima-lima parti tersebut (Bersatu, Pas, Amanah, Pejuang dan PKR) adalah daripada serpihan benih UMNO – parti warisan Melayu yang ditubuhkan sejak 11 Mei 1946 malah merupakan ‘parti keramat’ kepada survival politik Melayu.

Persoalannya, tergamakkah Melayu mengkhianati dan berlaku curang lagi terhadap UMNO pada PRU-15 ? Apakah kecelakaan kepada UMNO semasa PRU-14 pada tahun 2018 akan berulang ? Apakah parut kesengsaraan dan kepayahan hidup khususnya dalam kalangan orang Melayu semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sudah sembuh dan pulih sepenuhnya?

Pada PRU-15 nanti, UMNO berpotensi besar akan bertanding secara solo bersama parti komponen BN lain. Pengundi terutamanya orang Melayu sekali lagi berpeluang untuk membuat pilihan dengan menterjemahkan sokongan dalam bentuk undi kepada parti  tertentu.

Matematiknya amat mudah, berilah undi kepada calon dan parti UMNO yang telah terbukti memberi khidmat bakti sebaik mungkin kepada rakyat Malaysia. Peringatan mesra kepada pemilih berdaftar secara peribadi dan profesional, jangan sesekali tersalah pilih lagi kerana buruk padahnya. Justeru, pengundi Keluarga Malaysia hendaklah memilih UMNO demi kepentingan dan kebaikan masa depan negara serta kesejahteraan rakyat.

  • Penulis adalah penganalisis keselamatan dan sosial. Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV