PENYANYI Shahir atau nama sebenar Shahir Zawawi, 33, telah merangkul gelaran juara bagi konsert akhir program realiti Hijrahkan Laguku yang bertempat di Studio TV Al Hijrah, Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Shahir, dia tidak menyangka dan meluahkan rasa syukur dengan kemenangan yang diperolehinya setelah tujuh minggu bersaing bersama tujuh lagi peserta yang hebat.

“Saya sedikit hilang kata-kata, tetapi saya bersyukur, yang penting sebenarnya bukan soal juara atau tidak tapi program ini mudah-mudahan juara di hati para pendengar. 

“Selebihnya, abang-abang kekanda saya ini semuanya hebat belaka. Termasuklah yang ada empat orang lagi. 

“InshaAllah, ada lagi musim kedua yang dapat diteruskan sebagai medium atau platform bagi anak seni menyebarkan dakwah,” katanya kepada URTV.

Tambah Shahir lagi, dia memilih lagu Madahku yang diolah daripada lagu asal Madah Berhelah oleh penyanyi Ziana Zain untuk membawa satu kelainan kepada penonton.

Malah, anak kelahiran Perak itu berkata dia hanya memberi fokus kepada keberkesanan lagu yang dibawa tanpa memikirkan hadiah kemenangan.

Katanya lagi, dia hanya ingin mewarnai industri nyanyian dengan memperbanyakkan lagu-lagu berunsurkan dakwah dan kerohanian.

“Sepanjang enam minggu, saya mungkin tidak pernah lagi mencuba lagu wanita dan ini tujuan perbezaan yang cuba saya bawakan di pentas akhir.

“Mengenai perancangan, semestinya ruang yang dibuka TV AlHijrah ini saya akan gunakan sebaik yang mungkin. 

“Rakan penyanyi yang lain pun mungkin akan memeriahkan dan mewarnai industri dengan lagu-lagu yang berunsurkan dan mengingatkan kepada tuhan. 

“Tentang hadiah kemenangan tersebut, saya tidak fikir dan tidak tahu jumlah wang tersebut sehingga diumumkan saat-saat akhir.  Jadi yang penting sekarang ini, saya lega dan sudah menyelesaikan tujuh minggu di program Hijrahkan Laguku ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, persaingan yang sengit dapat disaksikan semalam di mana markah keseluruhan yang dikumpul oleh Shahir adalah sebanyak 72 peratus, Datuk Nash (71 peratus), Mark Adam (63 peratus) dan Iwan Syahman (62 peratus).