“Saya tak boleh tutup mulut orang daripada terus bercakap.” Demikian kata pelawak Shuib Sepahtu apabila diminta mengulas mengenai kecaman netizen terhadap dirinya.

Selesa untuk tidak mengusutkan kepala dengan hal negatif, jelas Shuib, dia enggan mengambil kisah apa yang diperkatakan orang luar berbanding keluarganya sendiri.

Sebelum ini, Shuib teruk dikecam gara-gara membicarakan tentang soal jodoh selepas lim bulan pemergian arwah isterinya, Siti Sarah Raissuddin.

“Saya tak kisah sangat kena kecam dan tak peduli apa orang luar nak cakap fasal saya.

“Selagi saya tak kacau dan mengata orang lain, rasanya saya tak perlulah nak ‘melenting’.

“Saya hanya akan dengar aitu ibu saya berbanding orang luar,” katanya kepada URTV.

Shuib ditemui ketika majlis pelancaran tudung jenama Loveta X Anzalna yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Bercakap tentang soal jodoh, Shuib mengaku menerima mesej langsung (DM) daripada pengikut wanita yang ingin berkenalan di media sosialnya.

Bagaimanapun, Shuib lebih senang untuk tidak membalas mesej tersebut kerana menganggap ia sekadar gurauan dan tidak terlalu serius.

“Ibu setiap hari tanya, ada ke kawan yang boleh saya bawa berjumpa dengannya. Ramailah wanita yang menghantar mesej di laman sosial bertanya khabar, tapi jujurnya saya takut.

“Jika mahu mencari jodoh perlu persetujuan daripada ibu dan anak-anak. Kalau saya yang suka tetapi anak-anak tidak okey memang tak jadi. Buat masa ini saya serahkan kepada Allah sahaja.

“Saya tahu kesannya (kecaman orang luar) nanti bila sibuk mencari jodoh wwalhal dulu saya terlalu bersedih kehilangan isteri. Namun ada yang menyokong jika saya mencari pasangan kerana sampai bila saya hendak hidup sendiri.

“Jika saya depresi, siapa yang mahu tanggung? Kalau saya menangis dan tertonggeng sendirian di rumah, tiada yang akan ambil kisah bertanya sama ada keadaan saya okay atau tidak,” luahnya.

Tambah Shuib, dia tanpa berselindung mengaku sedang mengenali seseorang namun menegaskan hubungan berkenaan masih belum ke tahap lebih serius.

“Saya risau sebenarnya jika orang luar akan membuat perbandingan dengan arwah isteri. Ya memang saya sedang berkawan dengan seseorang tetapi hubungan tersebut tidak serius.

“Umur saya bukan muda lagi. Kalau boleh saya memang tak mahu buang masa. Ditambah lagi saya berstatus duda anak empat jadi saya tak mahu berlengah jika sudah jumpa calon sesuai.

“Saya kadangkala terfikir ada ke wanita yang sudi terima saya dan anak-anak? Saya tak akan teruskan hubungan jika keluarga tidak bersetuju,” ungkapnya.

Shuib kini mengalas tanggungjawab selaku bapa tunggal kepada empat orang cahaya mata selepas isterinya, penyanyi Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia lima bulan.