Tan Cheng Hoe. GAMBAR: Facebook FAM

TELERAI sudah ikatan Tan Cheng Hoe dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila meletak jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya ekoran gagal dalam misi merangkul Piala AFF Suzuki di Singapura baru-baru ini.

Bekas penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan, seterusnya penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada pada 2017, meletak jawatan kerana mengambil tanggung jawab di atas kegagalan Malaysia. Beliau melepaskan jawatan bukan kerana tekanan mana-mana pihak.

Itu kata Cheng Ho. Tetapi sebenarnya tekanan itu ada. Banyak pihak, termasuk peminat yang kecewa menuding jari kepada Cheng Ho dan menganggap beliau punca kegagalan.

Sudah lumrah bagi mana-mana jurulatih dalam sukan apa pun akan disanjung dan dipuja jika menempa kejayaan. Namun jika gagal maka sepantas itu juga menjadi bahan celaan. Semua kejayaan yang pernah dicapai dan jasa bakti yang pernah ditabur dilupakan.

Barang kali inilah tekanan emosi hebat dihadapi oleh Cheng Ho sehingga memilih untuk berundur. Pihak FAM juga tidak ketara membela beliau. Pihak lain pula yang percaya kegagalan di Singapura bukan kesalahan Cheng Ho semata-mata.

Sebaliknya keseluruhan struktrur FAM dan pemain juga mesti sama-sama bertangung jawab. Sekurang-kurangnya Cheng Ho telah mengambil jalan terhormat dengan berundur. Yang lain tidak ada rasa tanggung jawabkah?

AKSI pasukan Malaysia menentang Vietnam di Piala AFF Suzuki baru-baru ini – Gambar Twitter FAM

Jangan hanya menumpang kredit apabila mencapai kejayan tetapi menikus apabila menghadapi kegagalan. Jurulatih sukar melakukan yang terbaik secara berseorangan, melainkan dengan sokongan kuat semua pihak, khususnya pengurusan dan pemain.

Benar, jurulatih bertanggung jawab di atas prestasi pasukan. Namun tidak wajar meletakkan kesalahan di atas bahunya berseorangan jika kecundang. Sementara dia melatih dan membimbing, pemain di atas padang menyumbang kepada jatuh bangun pasukan.

Kegagalan di Singapura dikaitkan dengan wujudnya tangan-tangan ghaib yang menyebabkan Cheng Ho gagal menyediakan pasukan yang benar-benar kukuh dan mantap untuk berdepan dengan pasukan hebat negara lain.

BERITA BERKAITAN Cheng Hoe letak jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Ini dikatakan berpunca daripada sikap persatuan bola sepak negeri yang enggan melepaskan pemain utama untuk menyertai pasukan kebangsaan. Kerana itu pasukan hanya dibarisi oleh yang terbaik yang ada di dalam tangan.

Gejala ini dikatakan sudah lama membelenggu. Kerana itu FAM wajib bertindak tegas membetulkan keadaan. Jangan dibiar ia merebak menjadi barah sehingga sukar diubati. Selalu ingat panggilan negara lebih penting dan perlu diutamakan.

Cuba imbau pasukan boleh sepak negara dalam era tahun 60-an dan 70-an. Ketika itu tiada Semi Pro atau Liga Super. Tidak ada pemain bergaji sehingga puluhan ribu ringgit. Apabila dipanggil bermain untuk negara, semua menerima dengan bangga. Tanpa curahan wang ringgit, mereka tetap komited mengharumkan nama negara.

Rentetan pemain hebat seperti Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, R Arumugam, Namat Abdullah, Shaharuddin Abdullah, Soh Chin Aun, Isa Bakar, Ali Bakar, Wong Kam Fook, Santokh Singh, Syed Ahmad, Bahwandi Hiralal, Zulkifli Norbit, Del Akbar, Wong Choon Wah, James Wong, Hassan Sani, M Chandran dan ramai lagi membantu Malaysia gemilang di persada bola berbekalkan kegigihan dan semangat juang tinggi.

KARL Heinz Weigang (berdiri kanan) bersama skuad juara Kelayakan Olimpik 1980.

Ketika itu pasukan bola sepak Malaysia antara yang digeruni di rantau ini. Pasukan negara berjaya ke Sukan Olimpik dua kali pada 1972 dan 1980. Pada tahun 1972, dalam laluan ke Munich itu, Malaysia menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filifina di bawah bimbingan Jalil Che Din.

Sekali lagi negara berjaya melayakkan diri ke Olimpik di Moscow pada 1980, di bawah kendalian Karl Weigang, jurulatih dari Jerman yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia, serta pernah melatih pasukan Perak dan Johor. Tetapi Malaysia tidak beraksi di Moscow kerana membantah pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan.

Pasukan Jepun dan Korea Selatan suatu ketika dahulu bukan masalah bagi kita. Malah Malaysia lebih hebat. Tetapi lihat apa yang berlaku sekarang. Jepun dan Korea Selatan bersaing di pentas Piala Dunia sedangkan Malaysia saringan Piala Asia pun tidak lepas, hanya pernah layak pada 1976 dan 1980.

Adakah pemain sekarang begitu lemak dengan ganjaran wang ringgit dalam pasukan negeri sehingga hilang semangat dan tiada komitmen bermain untuk pasukan kebangsaan?

Dahulu jurulatih negara adalah di kalangan rakyat tempatan. Antaranya Jalil Che Din (membawa Malaysia ke Munich 1972), M. Kuppan dan Mohamad Bakar. Namun mereka mampu membina pasukan yang mantap dan komited. Mereka membawa negara ke Olimpik, juara Pestabola Merdeka, pingat emas Sukan SEA serta layak ke Piala Asia.

Tentunya ini dengan sokongan dan kerjasama banyak pihak, terutama pemain. Apakah elemen ini sudah terhakis? Lantas jika gagal hanya jurulatih yang dipersalah?

Kini ada desakan dilantik jurulatih luar bagi mengganti Cheng Hoe. Ini bukan perkara baru kerana sebelum ini pun ramai jurulatih luar mewarnai bola sepak Malaysia. Antaranya Harold Hassal, David McLaren, Josef Venglos, Trevor Hartley, Karl Weigang, Nelo Vingada, Calude le Roy dan Frank Lord.

BERITA BERKAITAN

Boleh sahaja mengambil jurulatih luar, cuma jangan anggap mereka tongkat sakti. Ukur sendiri sejauh mana kejayaan jurulatih luar yang pernah membimbing pasukan negara. Kebanyakan mereka adalah nama besar dalam arena bola sepak tetapi kenapa Malaysia tidak menyerlah?

Iktibarnya, walau hebat mana pun jurulatih, dia sukar mengubah nasib pasukan jika tidak mendapat sokongan padu, terutama oleh pemain. Justeru haruskah dituding jari kepada jurulatih sahaja jika prestasi teruk?

Dalam kesibukan mencari pengganti Cheng Ho, ubah juga minda FAM, pemain dan mereka yang terlibat dengan bola sepak negara. Eratkan kerjasama, komited dengan tanggung jawab. Buang tabiat suka menuding jari. Sudah terhantuk, segeralah tengadah. Jangan sengaja mahu terhantuk sepanjang masa. – UtusanTV

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram