Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) hari ini.

SEBANYAK enam pendekatan akan diambil kerajaan menerusi tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan yang diambil mulai 2021 hingga 2030 itu termasuk rondaan penguatkuasaan dan pengawalan melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, MyTTF juga bersetuju bagi pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan serta menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan dan aktiviti pemburuan haram.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan juga akan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang 2040.

Pada masa sama, MyTTF juga bersetuju untuk memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya serta pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi haiwan berkenaan.

“Mesyuarat juga bersetuju memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation yang sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

“Kempen Selamatkan Harimau Malaya juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Prinsip kerajaan hari ini, permudahkan bukan sulitkan – PM

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan bahawa kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.

Antara lain, kata beliau, disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper.

Beliau memaklumkan, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) juga telah dipinda dan diluluskan Parlimen pada 21 Disember lalu untuk meningkatkan keberkesanan oerundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

“Selain itu, terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian.

“Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

“Lebih membimbangkan, spesis ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram