“MAMA…nak susu.” Ayat yang biasa didengar tatkala si kecil dengan suara manjanya meminta susu botol.
Lebih menguji kesabaran sebagai seorang ibu apabila berada dalam satu fasa untuk memisahkan si kecil daripada minum susu menggunakan botol kepada cawan mahupun gelas.
Melihatkan keletah serta sifat manja si anak, adalah agak sukar untuk berkata ‘tidak’ kepada mereka. Lantas, cubaan untuk menukar tabiat minum susu botol kepada cawan tidak berjaya.
Namun, anda seharusnya tidak patah semangat dan menganggap ia tidak berjaya. Sebaliknya, ambil sedikit masa atau ruang untuk anda dan juga si kecil mencari cara yang terbaik untuk memastikan usaha ini berjaya.
Dalam usia tiga hingga ke enam tahun, masih ramai kanak-kanak yang minum susu menggunakan botol sedangkan umum mengetahui bahawa amalan itu sepatutnya dihentikan.

Dalam sesetengah kes, terdapat kanak-kanak yang memang tidak dapat meninggalkan amalan minum susu menggunakan botol terutamanya ketika waktu tidur. Inilah yang dikatakan bed time bottle feeding.
Menjelas lebih lanjut mengenai isu ini, Pakar Pediatrik, Dr. Fadzillah Ghazalli berkata, kesediaan untuk memisahkan penggunaan botol susu kepada cawan bergantung kepada ibu bapa itu sendiri. Bagaimanapun, beliau menyarankan bahawa seawal usia setahun hingga setahun setengah merupakan waktu yang sesuai untuk beralih kepada penggunaan cawan.
“Menukar corak minum susu daripada botol kepada cawan adalah antara fasa yang agak mencabar dalam ilmu keibubapaan. Mungkin ini dianggap isu yang biasa dan sesetengah ibu bapa tidak menganggap ia sebagai satu isu yang kritikal. Fasa peralihan ini jika ditangguhkan, boleh menjejaskan imej kendiri kanak-kanak itu sendiri.
“Sebagai contohnya, ada di kalangan kanak- kanak yang pada usia enam dan tujuh tahun pun masih lagi minum susu menggunakan botol. Ia sudah menjadi satu tabiat yang agak sukar untuk dipisahkan.

“Justeru, sekiranya kita benar-benar inginkan ia menjadi realiti, ibu bapa itu sendiri seharusnya bijak memainkan peranan mereka, menggunakan kreativiti, psikologi dan komunikasi yang baik dengan anak-anak.
“Melihatkan perkembangan anak-anak hari ini, mereka semakin bijak, interaktif dan memberi respons yang positif pada setiap perkara baru.
“Sekiranya, fasa ini diperkenalkan pada awal usia, mereka boleh memahami pertuturan kita dan boleh memegang sendiri botol susu. Itulah masa yang sesuai untuk menggantikan botol susu kepada bentuk cawan ataupun gelas.
“Malah di pasaran tempatan pun sudah ada pelbagai bentuk cawan yang memang diperkenalkan khusus untuk fasa peralihan daripada botol susu kepada cawan.
“Cuma bergantung kepada ibu bapa itu sendiri sama ada mereka sensitif atau sebaliknya kepada isu ini,” katanya.
Menurut Dr. Fadzillah lagi, antara langkah yang boleh diambil semasa memulakan fasa peralihan ini adalah memberikan makanan pejal.
Ia sebagai salah satu makanan sampingan selain susu yang bukan saja boleh mengenyangkan, malah setiap makanan yang diberikan mengandungi pelbagai vitamin dan protein yang diperlukan untuk perkembangan mental dan fizikal anak-anak.

Sumber yang terbaik dalam memperkenalkan pemakanan kepada si kecil ialah dengan merujuk pada piramid makanan. Bubur nasi, buah-buahan, telur, roti dan pelbagai makanan lain sesuai diperkenalkan kepada si kecil.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu bijak melihat kandungan vitamin dan zat yang terkandung dalam makanan tersebut.
“Semasa kita memperkenalkan makanan pejal kepada anak-anak, kita juga boleh mengurangkan jumlah susu yang diberikan (dalam bentuk botol). Daripada jumlah yang biasa dia minum, kurangkan kepada separuh dan sedikit demi sedikit cuba beralih dalam bentuk cawan.
“Lama kelamaan, sekiranya kita benar-benar inginkan ia berjaya, jelaskan kepada anakanak kenapa perlunya kita berbuat demikian. Pada usia tiga dan empat tahun, mereka boleh memahami apa yang kita jelaskan,” ujar Dr. Fadzillah lagi.