MALAYSIA sedang merangka untuk memperkenalkan satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) baharu yang disesuaikan untuk fasa pemulihan masa kini dan seterusnya, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelan baharu diperlukan kerana PPN yang diumumkan tahun lepas merupakan satu ‘exit strategy’ bagi membolehkan negara dibuka dengan selamat telah membuahkan kejayaan apabila seluruh negara kini telah beralih ke Fasa Empat PPN.

“Maka, Majlis PPN yang bermesyuarat pada hari ini berpandangan bahawa satu Pelan Pemulihan Negara untuk fasa pemulihan dan seterusnya diperlukan.

“Justeru, PPN 2.0 akan dirangka segera secara komprehensif dan inklusif melibatkan input daripada semua pemegang-pemegang taruh termasuk pakar-pakar pelbagai bidang, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang bersesuaian,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam kenyataan akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN yang pertama bagi 2022 hari ini.

BERITA BERKAITAN Kelantan, Sarawak akhirnya beralih ke Fasa 4 PPN mulai Isnin

Katanya, mesyuarat MPN hari ini dimulakan dengan taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini berkaitan Covid-19 serta situasi semasa varian Omicron di Malaysia serta langkah-langkah kawalan dan pencegahan.

Mesyuarat seterusnya diberikan taklimat oleh Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin Hassim mengenai mekanisme pengurusan banjir, taklimat oleh Ahli MPN, Datuk Michael Kang berhubung kesan bencana banjir ke atas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan beberapa cadangan untuk membantu pemulihan semula PMKS yang terkesan.

Mesyuarat juga telah meneliti pembentangan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Suffian Sulaiman mengenai isu dan cabaran pemulihan sektor perikanan pasca pandemik COVID-19.

Selepas bermesyuarat, majlis memberi pandangan dan mengesyorkan empat perkara berikut:

1 . Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri memulakan perbincangan untuk meneliti, merancang dan mencadangkan langkah-langkah untuk membuka semula sempadan negara dengan segera dan selamat kepada MPN.

Majlis berpandangan bahawa pembukaan sempadan negara adalah salah satu daripada langkah penting yang akan menyokong proses pemulihan negara. Cadangan pembukaan sempadan negara juga perlu merangkumi mekanisme kawalan penularan varian-varian baharu.

2. NADMA memastikan bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir dalam kalangan rakyat dan perniagaan dipermudah dan dipercepatkan proses penyalurannya.

Majlis juga menyarankan supaya NADMA dapat membuat perancangan lebih awal bagi persiapan sebelum bencana banjir dan langkah pemulihan pasca banjir yang berlaku setiap tahun.

Bagi penyelesaian jangka panjang dan mengambil kira perubahan iklim yang semakin tidak menentu, pihak NADMA, Jabatan Meteorologi dan Kementerian Alam Sekitar dan Air turut disaran untuk lebih proaktif dengan melihat kepada penggunaan teknologi jangkaan baharu dalam menangani isu bencana alam sekitar.

3. SME Associations of Malaysia bekerjasama dengan SME Corp bagi membantu menyediakan senarai PMKS yang terjejas berikutan bencana banjir kepada Kementerian Kewangan. Majlis berpandangan bahawa bantuan adalah perlu secara bersasar bagi meningkatkan keberkesanan dalam pengagihan bantuan; dan

4. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dapat memperhalusi langkah-langkah menangani isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing bagi sub-sektor perikanan laut dalam. Masalah ini yang menyebabkan jumlah pendaratan ikan berkurangan dan bekalan ikan di pasaran terganggu menjejaskan pemulihan dalam sektor perikanan. – UtusanTV