GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

POLIS Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, Sabtu lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik ini (tujuan vaksinasi) dan daripada jumlah itu kita masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksin palsu.

“Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Rohaimi berkata, individu dari luar Terengganu juga dipercayai turut menggunakan khidmat doktor tersebut bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

“Kita dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Jemaah umrah tipu sijil vaksin perlu bertaubat – kerana mereka, sijil vaksin Malaysia mungkin tidak akan dipercayai – Mufti

Beliau berkata, doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu, dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik yang lain.

“Walaupun doktor itu mengaku antivaksin, beliau sudah menerima suntikan vaksin (COVID-19), mungkin atas sebab tuntutan kerjaya beliau sebagai doktor,” katanya.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmatnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Rohaimi, perbuatan doktor yang bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah, malah boleh membawa musibah kepada kesihatan masyarakat.

Pada sidang media sama, Pengarah JKN Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberi suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lepas dan semakan mendapati klinik itu telah membuat permohonan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19, namun belum diluluskan.

Kasemani berkata, terdapat klinik yang masih belum dilantik menjadi PPV, namun boleh memberikan suntikan secara berbayar bagi vaksin COVID-19 keluaran Sinovac sahaja.

Beliau berkata pemberian suntikan vaksin secara berbayar semakin berkurangan kerana sudah terdapat vaksin yang mencukupi untuk diberikan secara percuma di PPV yang dilantik.

“Kita akan tunggu hasil siasatan polis untuk tindakan lanjut terhadap doktor dan klinik ini,” katanya dan menambah pendaftaran klinik serta lesen doktor tersebut boleh dibatalkan jika didapati bersalah.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram