Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang GAMBAR: Abd Razak Aid

TAN Sri Abu Zahar Ujang menyerahkan kepada budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan untuk menentukan kedudukan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (LPPR).

Ia susulan kenyataan dikeluarkannya berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Abu Zahar mendakwa cara media melaporkan kenyataan dikeluarkannya semasa sidang akhbar 5 Januari lalu telah memberi gambaran tidak tepat kepada masyarakat awam.

Menurut beliau, semasa sidang akhbar itu, kenyataan media penuh sebanyak 13 halaman muka surat telah diedarkan, namun malangnya tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbang kepada salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan dakwaan salah laku terhadap Azam telah diberi pandangan dan pendapat oleh LPPR tetapi tidak disentuh dan dilaporkan media.

Apatah lagi, Abu Zahar berkata, video berkaitan sidang akhbar yang tular pula cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataannya.

“Sekiranya kenyataan pada 5 Januari 2022, saya telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan sehingga ke tahap ia menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya, yang mana sememangnya tidak dihasratkan, saya serahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukan saya sebagai Pengerusi LPPR.

“Yang mana ini adalah satu amanah telah saya laksanakan setakat ini, tanpa mengambil pihak.

“Saya semestinya akan akur dengan keputusan itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Abu Zahar sedia disiasat, kesal kenyataan anggota LPPR

Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata, seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan pada 5 Januari lalu, siasatan berkaitan dakwaan salah laku terhadap Azam masih terbuka untuk diteruskan oleh mana-mana agensi yang mempunyai kuasa atas pendapat dan seliaan daripada Pejabat Peguam Negara.

Beliau dan anggota lain dalam LPPR juga percaya tidak langsung berhasrat menghalang siasatan lanjut tersebut, sekiranya dilakukan.

Kata beliau, perkara tersebut malah digalakkan atas konsep kedaulatan undang-undang supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada di tahap tertinggi menurut lunas undang-undang.

“Walau apa pun, saya sebagai Pengerusi LPPR sememangnya sedar dan tahu bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan sendiri berkaitan apa-apa salah laku jenayah terhadap mana-mana pegawai SPRM dan cuma mempunyai kuasa untuk memberi pandangan dan cadangan tentang cara siasatan wajar dilakukan dalam keadaan tertentu.

“Pandangan dan cadangan LPPR itu boleh didapati dengan nyata secara khususnya di muka surat enam kenyataan media pada 5 Januari lalu.

“Tidak diniatkan mahu pun dihasratkan untuk menghalang satu siasatan menyeluruh oleh mana-mana agensi kerajaan berkuasa dan bebas untuk melakukan siasatan rasmi berkaitan dakwaan salah laku terhadap Azam,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram