Tidak usah berbicara siapa yang layak membayar zakat. Rasa-rasanya, apabila ditanya semua orang akan tahu. Sudah tentulah jawapannya, ialah orang Islam, merdeka, sempurna milik, cukup haul, dan cukup nisab. Itu sahaja. Selebihnya, tidak wajib bagi mereka yang tidak menepati syarat di atas untuk mengeluarkan zakat.
Namun, sekalipun syarat-syarat tersebut nampak mudah, masih ramai yang terlepas pandang tentang kewajipan kanak-kanak dan orang yang tidak siuman untuk melunaskan tanggungjawab tersebut. Bahkan ada yang bertanya balik dengan pelbagai soalan, “Betul ke?”, “Eh! Takkan orang gila dan kanak-kanak pun kena keluarkan zakat?,” “Biar betul, orang gila pun kena keluarkan zakat ke?”.
Ternyata soalan-soalan yang terpacul secara spontan itu menggambarkan keadaan sebenar betapa tuntutan mengeluarkan zakat masih tidak difahami secara jelas oleh masyarakat Islam. Apa pun masih belum terlambat untuk berbuat demikian kerana dalam Islam, mereka yang tidak pernah membayar zakat pun boleh berbuat demikian dengan menunaikan qada’ zakat.
Apa pun menurut Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Dziyaulhak Hashim, syarat utama untuk mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat selain Islam, khususnya zakat simpanan ialah apabila wang simpanan seseorang cukup haul (setahun) dan nisabnya iaitu sebanyak RM12,225 dalam setiap bank di setiap hujung tahun.
Dengan kata lain, tidak kiralah sama ada seseorang itu masih kanak-kanak, atau belum mencapai akil baligh atau tidak siuman atau gila, mereka wajib melunaskan kewajipan tersebut apabila mencapai jumlah tersebut. Justeru, bagi mereka yang tidak berupaya untuk menguruskan pengeluaran zakat tersebut, maka tanggungjawab tersebut tertanggung di atas waris si pemilik akaun.
Ujar Mohd Dziyaulhak, sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah simpanan yang cukup nisab tersebut perlu dizakatkan apabila cukup haulnya, iaitu setahun. Pun begitu bagi mereka yang menyimpan di Tabung Haji atau mana-mana perbankan serta institusi yang menguruskan pemotongan zakat secara automatik, tidak perlu lagi berbuat demikian.

Waris terdekat menjadi wakil bagi mentaksirkan harta dan seterusnya menunaikan zakat yang wajib daripada harta mereka apabila cukup syarat seperti yang tersenarai di atas. Perkara yang sama juga berlaku jika seseorang kanak-kanak itu mempunyai wang simpanan yang melebihi nisab dan mencukupi haul. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mewakilkan anak tersebut dalam urusan pembayaran zakat.
Hal yang sama juga tertakluk ke atas anak yatim yang mempunyai simpanan melebihi nisab berkenaan,” ujarnya sambil menambah, faktor umur bukan menjadi penentu kewajipan membayar zakat. Dengan kata lain, sekalipun seseorang kanak-kanak itu belum mencapai usia 18 tahun tetapi telah mempunyai jumlah simpanan yang dinyatakan, maka menjadi kewajipan warisnya untuk menguruskan pembayaran zakat.
Pengiraan pembayaran
Menyentuh kaedah pengiraan pembayaran khusus untuk mereka yang mempunyai banyak akaun simpanan, Mohd Dziyaulhak menjelaskan, apa yang perlu dilakukan ialah dengan cara mencampurkan kesemua baki terendah dalam semua bank yang ada dan jika jumlahnya melebihi RM 12,225, maka wajib baginya mengeluarkan zakat.
Jelas Mohd Dziyaulhak lagi, tujuan utama disyariatkan untuk mencampurkan baki terendah ialah kerana baki itu yang menggambarkan kekuatan sebenar kewangan seseorang.
Jika baki terakhir yang diambil, berkemungkinan telah bercampur dengan bonus dan dividen tahunan, maka tidak adil bagi kita untuk mengatakan kedudukan kewangan seseorang itu berdasarkan jumlah tersebut kerana ia bukanlah pendapatan yang tetap. Wallahu a’lam
_________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare