Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Moohd Zin pada sidang media di IPK Pulau Pinang./ Gambar FB IPK P. Pinang.

PENGGUNAAN kekerasan oleh anggota sindiket pinjaman along dalam menuntut hutang sesungguhnya bukanlah cerita rekaan.

Malah sudah banyak dilaporkan termasuk cara mereka memalukan peminjam dengan melemparkan cat di kediaman penghutang.

Terbaharu, di Pulau Pinang, seorang wanita dipukul empat lelaki dan dikurung selama dua hari di sebuah hotel bajet di bandar raya itu.

Semuanya akibat mangsa yang berusia 47 tahun itu gagal melunaskan pinjaman RM10,000 kepada along.

Setelah kunci keretanya dan dua kad ATM milik wanita itu dilarikan, mangsa bernasih baik kerana diselamatkan polis hasil serbuan di hotel bajet berkenaan Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa dipercayai dipukul empat lelaki tempatan kira-kira jam 5.30 petang pada 3 Januari lalu.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, mangsa yang cedera ringan di kepala ditinggalkan di dalam hotel berkenaan.

“Suspek yang dikurung kemudian diselamatkan sepasukan anggota dari Balai Polis Central dua hari kemudian, kira-kira jam 10.30 malam.

“Siasatan mendapati mangsa gagal membuat pembayaran pinjaman sebanyak RM10,000 kepada seorang daripada suspek,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, kata Mohd Shuhaily, berdasarkan maklumat dan risikan, pihak polis kemudian berjaya menahan empat suspek pada jam 2 pagi Jumaat lalu di Jalan Perak, Jelutong.

“Polis berjaya merampas semula barang kes milik mangsa dan keempat-empat suspek berusia 25 hingga 30 tahun

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Mohd Shuhaily berkata, suspek juga didapati terbabit kes khianat dengan api bersangkut laporan pada 16 Mei tahun lalu.

Katanya, berdasarkan laporan itu, seorang lelaki mendakwa berlaku kebakaran kecil di hadapan rumah di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong, dipercayai dilakukan suspek yang juga along susulan seorang ahli keluarga mangsa membuat pinjaman dengan mereka.

“Bagi kes berkenaan, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman empat hari berakhir hari ini,” tegasnya.