Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali pada sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket penipuan dan keldai akaun di IPK Melaka hari ini./ Gambar BERNAMA

KADANG kala terfikir juga bagaimana sindiket penipuan memperoleh ‘akaun tumpang’ atau keldai akaun bagi melakukan jenayah keji mereka.

Maklumlah, mangsa scam biasanya akan diperdaya untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun yang dikawal sindiket keldai akaun bagi mengelak dijejak pihak berkuasa.

Dalam satu kes di Melaka, sindiket ini memperoleh kad ATM serta nombor pin kad individu lain juga dengan cara tipu daya – kononnya individu itu akan ditawarkan pekerjaan.

Mangsa yang juga seorang tukang kebun kemudian telah menyerahkan dua kad ATM miliknya dan nombor pin kad tersebut kepada suspek.

Untuk tujuan itu, dia diberi komisen sebanyak RM300 hingga RM400 sekali bayar untuk satu akaun bank.

Lelaki berusia 30 tahun itu juga diminta mencari rakan lain yang boleh memberikan kad ATM serta nombor pin akaun bank mereka.

Mendedahkan perkara itu pada sidang media hari ini, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, mangsa kemudian berjaya mendapatkan lima rakannya yang berminat dengan tawaran daripada sindiket berkenaan.

Selepas itu, katanya tukang kebun tersebut juga telah dibawa ke sebuah rumah di Seri Kembangan oleh dua ahli sindiket tersebut yang dikenali sebagai Yusri dan Naufal.

“Mangsa kemudiannya berasa curiga lalu membuat laporan polis pada 3 Januari lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan.

Susulan itu, kata Abdul Majid, tujuh ahli sindiket keldai akaun yang menjalankan aktiviti penipuan tawaran kerja dan pelaburan tidak wujud, melibatkan kerugian RM466,380.25, ditahan menerusi Op Akaun Palsu.

Katanya, ia hasil empat serbuan berasingan di dalam dan luar Melaka, baru-baru ini.

“Kesemua suspek berusia 21 hingga 40 tahun termasuk pasangan kekasih tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, ditahan di Alor Gajah, Seri Kembangan dan Kajang di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Januari lalu,” jelasnya.

Baca: Kena tipu dengan scammer, Shahir rugi RM12 juta!

Guna helah nak bayar bantuan kerajaan, awas penipuan terbaharu Macau Scam

Memetik laporan BERNAMA, beliau berkata, polis telah merampas 58 keping kad ATM pelbagai bank selain beberapa mata wang asing dalam operasi tersebut.

“Kami percaya sindiket penipuan ini melibatkan penipuan rentas negara yang telah aktif sejak Oktober tahun lepas dan sindiket dipercayai didalangi suspek warganegara China yang masih diburu.

“Dengan tertangkapnya ahli sindiket berkenaan, kami percaya sebanyak 36 kes penipuan dalam talian di seluruh negara yang melibatkan kerugian RM466,380.25 berjaya diselesaikan dan tiga kes daripadanya melibatkan kerugian berjumlah RM26,069.22 dilaporkan di Melaka,” jelasnya.

Abdul Majid berkata, siasatan awal juga mendapati kesemua suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan dadah.

Sementara itu, katanya, penipuan tawaran kerja tidak wujud di Melaka meningkat kepada 76 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.23 juta tahun lepas, berbanding empat kes melibatkan kerugian RM79,700 pada 2020.

Beliau berkata kes penipuan pelaburan tidak wujud pula menurun pada tahun lepas iaitu sebanyak 126 kes, namun nilai kerugiannya meningkat kepada RM6.49 juta, berbanding 259 kes pada 2020 dengan nilai kerugian RM2.87 juta.

“Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang dan buat semakan dahulu dengan pihak Bank Negara atau polis, sekiranya berasa curiga terhadap transaksi yang hendak dilakukan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram