ANALISIS

‘’KALAU ada pihak mengatakan bila nak ada pilihan raya atau ada tarikh untuk adakan pilihan raya kecil atau negeri ini, saya rasa seingat saya sebagai Menteri Besar, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan.”

‘’Tetapi hanya melihat dan meninjau kemungkinan-kemungkinan apabila Kerajaan Johor hanya mempunyai satu majoriti sahaja. Itulah keadaannya yang masih ada pada hari ini.”

‘’Saya masih lagi berpendapat bahawa saya perlu melihat kepada keadaan apabila kerajaan negeri hanya mempunyai satu majoriti. Walaupun semua orang suka menjadi nombor satu tetapi Johor mungkin tidak suka dengan istilah satu itu.’’

‘’Sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan itu semua saya percaya tidak berbangkit pada waktu ini.’’

Empat petikan tersebut dilontarkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad yang mungkin semakin merasai bahang desas-desus berhubung kemungkinan Johor akan  mengadakan pilihan raya negeri (PRN) memandangkan kerajaan negeri kini ditadbir dengan kelebihan satu kerusi sahaja berikutan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

Mengkaji satu demi satu petikan itu, tidak salah untuk penulis mentafsirkan, Hasni berada dalam dilema sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri atau tidak. Dari satu segi penulis percaya Hasni yang dianggap berjaya meredakan suhu politik dengan menjalinkan kerjasama bersama pembangkang keberatan untuk melaksanakan PRN.

Tambahan pula pada masa ini seperti mana kata beliau, belum wujud sebarang isu yang akan memungkinkan sokongan diberikan kepada kepemimpinan beliau khususnya oleh ADUN-ADUN Bersatu ditarik balik. Tetapi pada masa sama beliau juga memahami dengan kelebihan satu kerusi – ia adalah satu kedudukan yang cukup getir.

Ia seperti mana kata beliau, ‘’Kita perlu melihat jika terdapat gambaran bahawa sokongan berubah ataupun sekiranya ada agenda-agenda yang perlu dibawa yang memerlukan sokongan DUN sama ada perkara itu boleh (lulus) atau tidak diperolehi.’’

Justeru timbul persoalan, apakah langkah Menteri Besar Johor itu? Adakah beliau benar-benar mahukan PRN diadakan bagi menghapuskan ‘dilema kelebihan satu kerusi’? Atau berusaha bertahan sekurang-kurangnya setahun setengah lagi sementara menanti PRU-15?

Tetapi berdasarkan ‘angin-angin sepoi-sepoi bahasa’ dari negeri tersebut ‘membisikkan’ bahawa PRN Johor seolah-olah tidak dapat dielakkan lagi. Khabarnya juga ia mungkin akan diadakan selewat-lewatnya pada awal atau pertengahan bulan Mac nanti manakala pembubaran DUN pula dijangka sama ada hujung bulan ni atau pada awal Februari.

Keadaan inilah yang dikatakan meletakkan Hasni dalam situasi dilema, apatah lagi khabarnya kepemimpinan UMNO di peringkat pusat juga ‘begitu teruja’ untuk mengadakan PRN Johor selepas kemenangan di PRN Melaka.

Terdapat keyakinan luar biasa dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO Johor dan pusat bahawa UMNO/Barisan Nasional boleh mencatat kemenangan lebih dua pertiga di negeri itu jika PRN diadakan. Penulis tidak tahu congak apa yang digunakan.

Namun yang pasti sama ada betul atau tidak, ada cakap-cakap yang mengkhabarkan bahawa UMNO percaya senario di PRN Melaka akan berulang dan boleh memberi kelebihan kepada parti itu. Apa senario tersebut? Senario itu ialah UMNO percaya Pakatan Harapan berada dalam keadaan lemah dan pengundi luar tidak akan pulang untuk PRN.

Jika senario pengundi luar tidak pulang berulang seperti mana di Melaka, UMNO yakin peratusan mengundi akan rendah dan ia akan memberi kelebihan kepada parti tersebut.

Penulis tidak pasti sejauh manakah teori itu relevan untuk situasi politik di Johor tetapi apa yang pasti sejarah telah membuktikan bahawa parti tersebut pernah hilang kuasa di negeri kelahiran UMNO itu. Dan mungkin ini juga dilema Hasni.