“Saya ambil vaksin kerana patuh pada suami”. Demikian kata dramatis Ellie Suriaty ketika diminta mengulas mengenai dos vaksin Covid-19

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar,51, mengakui sudah melengkapkan dua suntikan seperti yang diwajibkan kerajaan pada November tahun lalu demi mentaati suruhan suaminya, pelakon, Azri Iskandar.

“Saya ambil suntikan Sinovac sebab Menteri Kesihatan, Khairy Jalaluddin pun ambil jenis yang sama….saya ikutlah.

“Dos pertama peda lewat bulan Oktober dan kedua pada November lalu. Tiada siapa yang mahu dijangkiti walaupun individu terbabit sudah divaksin atau anti-vaksin.

“Masing-masing ada cara pencegahan begitu juga saya ketika masih belum divaksin. Saya tak pernah kena Covid-19 sebab saya buat langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui  URTV sebentar tadi.

Ellie ditemui selepas pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit Restaurant, Mont Kiara, Damansara, hari ini.

Mengulas mengenai keterbukaannya untuk mengambil vaksin Covid-19, Ellie memberitahu, dia enggan melawan arahan suaminya yang sudah memberikan tempoh masa dua tahun.

“Saya ambil vaksin sebab suami saya, Azri Iskandar. Dia dah bagi saya masa hampir dua tahun untuk meluahkan apa yang patut diluahkan (tentang vaksin Covid-19). 

“Dia cakap pada saya dia dah beri masa dua tahun dan sudah sampai waktunya untuk saya ‘to call it quits’ (berhenti).

“Azri suami saya, dan selagi dia masih lagi bergelar suami dan dia dah bagi saya tempoh (buat pertimbangan vaksin). Dia sudah menghormati pendirian saya sebelum ini.

“Dah sampai masa saya kena ikut cakap suami. Sejujurnya, memang berperanglah sekejap dalam diri cakap ‘tak nak vaksin’ tapi dia suami saya dan saya sangat menghormatinya.

“Apapun yang berlaku kepada diri saya dan anak-anak, dia yang kena tanggunglah,” luahnya.

Sementara itu, Ellie turut menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya seorang antivaksin.

“Kalau saya antivaksin, rasanya lagi dulu saya takkan cucuk sebarang vaksin dalam badan. 

“Apa yang saya persoalkan tentang vaksin Covid-19 ini adalah tentang keberkesanannya kerana dibuat secara terburu-buru,” luahnya. 

Sebelum ini, Ellie merupakan antara selebriti tempatan yang lantang menolak suntikan vaksin termasuk untuk dua anaknya yang  berusia 17 dan 12 tahun atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Pun begitu, dalam kelantangan menolak suntikan vaksin Covid-19, suami Ellie iaitu Azri dalam diam-diam sudah menerima dua dos suntikan vaksin demi tuntutan kerja sekitar September tahun lalu.

Pasangan selebriti berkenaan turut mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis pada 30 Ogos lalu untuk menolak suntikan vaksin bagi pelajar sekolah yang diwajibkan pihak kerajaan.