MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menggesa pihak bertanggungjawab untuk menyiasat seorang pendakwah bebas yang mendakwa membawa jemaah tidak lengkap syarat vaksinasi untuk menunaikan umrah.

Beliau yang kesal dengan perkara itu berkata kejadian tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana antara syarat untuk menunaikan umrah mestilah lengkap divaksinasi dengan vaksin yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya amat kesal kalau berlaku perkara seperti begitu sedangkan syarat telah ditetapkan mesti fully vaksin (lengkap divaksinasi).

“Macam mana mereka boleh lepas ke sana (Makkah)? Pihak bertanggungjawab kena siasat macam mana mereka boleh terbolos ke sana,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM338,000 kepada 338 kakitangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjadi mangsa banjir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengakuan pendakwah terbabit yang membawa jemaah umrah tanpa vaksinasi.

Baca: ‘Saya mengaku tidak vaksin, bawa orang tak vaksin ke Saudi’ – Penceramah bebas

Omicron: Kalau London, London lah kita sekat, tetapi fakta jelas kes tertinggi dari Arab Saudi – KJ

Baru-baru ini, seorang pendakwah bebas didakwa menerusi Instagramnya tampil membuat pengakuan secara terbuka menjelaskan bahawa dia membawa jemaah yang tidak lengkap divaksinasi menunaikan umrah, serta mengaku bahawa beliau sendiri turut tidak menerima vaksin MM.

Difahamkan MM merujuk kepada vaksin Meningococcal dan Meningitis yang menjadi syarat ditetapkan Arab Saudi untuk jemaah umrah di seluruh dunia.

Sementara itu, Idris turut menasihatkan mana-mana pendakwah bebas supaya tidak menyampaikan sesuatu ilmu yang bukan menjadi kepakaran mereka dan menyarankan agar menyerahkan urusan itu kepada yang ahli.

“Saya sendiri tidak bercakap bab kesihatan dan saya percaya pakar perubatan kerana dalam agama kita diajar untuk bertanya kepada orang yang tahu jika kamu tidak tahu,” katanya.

— BERNAMA