SEORANG tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM1,290 kepada seorang anggota polis bagi tujuan melepaskan diri dan rakannya daripada menjalani ujian saringan air kencing, tahun lepas.

Wong Chee Ming, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh lantikan peguam bagi tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

Wong dituduh memberi suapan itu kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal sebagai dorongan untuk melepaskannya dan C. Elamaran daripada menjalani ujian saringan awal air kencing.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Simpang Tiga Jalan Air Bemban, Taman Air Bemban, Kulai, kira-kira 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.

Baca: Kontraktor didakwa lagi rasuah penjawat awam RM20,000

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Yunus Mohamed tidak menawarkan jaminan terhadap Wong kerana tertuduh sedang menjalani hukuman di Penjara Kluang atas kesalahan memiliki barang curi.

Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas Wong yang tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram