PELAKON Remy Ishak mula membuka mulut soal zuriat setelah lima bulan melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan Roszaliza Yusoff atau Ezza pada Ogos tahun lalu.

Menurut pemilik nama Mohammad Zalimei Ishak atau Remy, dia dan isteri masih belum berbincang soal cahaya mata kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

“Apabila kembali bekerja, orang sekeliling mula bertanya dan membuatkan saya terfikir hal anak. Saya tanya kepada diri sendiri, sibuk sangat ke saya bekerja?.

“Bagaimanapun, saya dan isteri lebih fokus pada kerja masing-masing. Kami pun tak pernah bercakap tentang hal ini,” ujarnya memetik laporan mStar.

Malah, disebabkan jadual kerja yang terlalu padat, Remy dan isteri juga tidak sempat berbulan madu selain belum berkesempatan mengerjakan ibadah umrah mengikut perancangan awal sebelum ini.

“Selepas bernikah tak dapat nak berbulan madu sebab ketika itu sekatan pergerakan ke luar negara.

“Begitu juga dengan perancangan umrah. Awalnya nak ke sana tak boleh sebab belum lengkap vaksin.

“Sekarang perjalanan ke umrah kembali disekat. Kami juga sibuk dengan kerja. Belum ada rezeki untuk berbulan madu, umrah dan memiliki cahaya mata,” kata pelakon filem Pulang ini.

Dalam pada itu, Remy meluahkan rasa seronok kerana dapat kembali tampil sebagai juri dalam program realiti terkenal The Masked Singer Malaysia (TMSM).

“Gementar juga dipanggil untuk jadi juri musim kedua, tetapi melihat kepada musim pertama ia satu program yang sangat seronok. Kami bagaikan satu keluarga.

“Rancangan ini wujudkan satu sisi lain dalam diri saya. Saya rasa lebih tenang, ceria dan suka untuk berkongsi,” ujarnya.

Buat info, Remy dan Ezza mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos tahun lalu di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Sumber: Mstar