INI kisah lama, berkaitan orang-orang tua dahulu tanam tembuni atau uri bayi. Kisah ini diceritakan arwah ayah aku dulu.

Sekitar tahun 1970-an, ayah aku tinggal bersama keluarga mertuanya di sebuah kampung di Pontian, Johor. Kami berketurunan Jawa dan memanggil atuk sebagai Yai.

Ia terjadi pada malam 19 Ogos 1976. Ayah aku memang ingat tarikh tersebut kerana pada tarikh itu lah kakak sulung aku lahir.

Malam 19 Ogos itu, ayah cuba meninjau di kolong rumah setelah terdengar bunyi seperti orang mendengus. Di kalangan masyarakat Jawa, bahagian bawah rumah dipanggil kolong.

Sebenarnya petang itu, ayah telah menanam tembuni kakak di situ. Ketika hendak meninjau ke bawah kolong itu, nenek (yang aku panggil Nyai) halang ayah daripada turun. Nyai takut kalau-kalau ada benda yang tak elok, lagi pulak ada bayi baru lahir dalam rumah. Orang tua memang begitu, banyak pantang-larangnya.

Nyai tanya ayah, adakah dia sudah memasang pelita di atas tembuni kakak? Rupa-rupanya, ayah terlupa nak pasang pelita sebelum hari gelap.

Ayah mengintai dari celah-celah lantai kayu ke bawah. Dalam gelap malam, pandangan kurang jelas. Cahaya pelita dari atas rumah tidak cukup terang untuk membolehkan ayah melihat ke kolong rumah. Zaman itu, rumah Yai dan Nyai aku belum ada lagi bekalan elektrik atau air paip.

Ayah kemudian mengambil lampu suluh dan menyuluh ke arah benda yang bergerak-gerak itu. Tapi ayah tak nampak pun kelibat sesiapa di situ. Atuk aku, Yai kemudian nak turun melihat sendiri ke bawah, tapi Nyai halang juga.

Selepas sembahyang Subuh pagi esoknya, ketika hendak pergi menoreh, ayah dan Yai pergi meninjau tembuni kakak di bawah rumah. Tak ada kesan-kesan digali atau dicerobohi sesiapa. Keadaan tanah masih seperti asal.

Ayah dan Yai rasa hairan, apa benda bayangan yang bergerak-gerak yang mereka lihat malam tadi pada tembuni kakak? Mereka berdua yakin melihat ada ‘benda’ dari celah-celah lantai rumah.

Dalam perjalanan ke kebun getah, mereka bertembung dengan Wak Mingan. Lagi hairan bila Wak Mingan bertanya kepada ayah, apa yang dia buat malam tadi terbongkok-bongkok di bawah rumah?

Terbongkok-bongkok di bawah rumah? Malam tadi?

Rupa-rupanya Wak Mingan juga melihat ‘peristiwa’ malam tadi, sama seperti apa yang dilihat ayah dan Yai. Kata Wak Mingan, dia dalam perjalanan pulang ke rumah. Bila lalu di depan rumah Yai, dalam samar-samar malam dia nampak ayah di bawah kolong rumah.

Wak Mingan menyuluh dan menyapa ayah namun tidak dibalas. Kata Wak Mingan, ayah hanya memalingkan muka. Melihatkan ayah tidak membalas sapaannya, Wak Mingan terus berlalu.  

Dah tentu ayah hairan mendengar cerita Wak Mingan. Jika Wak Mingan melibat kelibat ayah dari belakang dengan jelas, sementara ayah dan Yai pula nampak samar-samar ada benda yang bergerak-gerak di kolong rumah.

Setelah Wak Mingan, ayah, dan Yai saling bertukar cerita tentang apa yang mereka alami, mereka menuju ke rumah Yai. Setibanya di rumah Yai, mereka pergi melihat tempat tembuni kakak ditanam. Keadaannya tidak berubah sama seperti ayah lihat pagi tadi, tiada kesan diganggu atau digali.

Namun, Wak Mingan tak puas hati. Dia cadangkan  supaya digali semula tembuni tersebut. Ayah bersetuju dengan cadangannya.

Setelah meminta izin daripada ayah, Wak Mingan mula menggali sambil diperhatikan oleh ayah dan Yai. Periuk tanah kecil tempat menyimpan tembuni kakak dikeluarkan. Wak Mingan membuka penutup periuk tanah tersebut. Apa yang mengejutkan, tembuni kakak sudah hilang.

Periuk tanah itu kosong. Yang tinggal hanya paku, asam, garam, pinang, dan serbuk kunyit sahaja, yang merupakan bahan yang sering ditanam bersama tembuni.

Melihat tembuni kakak yang ghaib, ayah tidak berpuas hati. Ayah tekad untuk mencari siapa punya angkara.

Wak Mingan pula bersetuju dan berpakat dengan ayah untuk menangkap pencuri tembuni itu. Ayah percayakan Wak Mingan sebab Wak Mingan ini boleh tahan juga ilmunya dalam hal-hal mistik.

Wak Mingan kemudian mencari isi perut ayam dan mengisinya bersama paku, asam, garam, pinang serta serbuk kunyit dan dimasukkan ke dalam periuk tanah kecil, sebelum ditanam di bawah kolong rumah Yai. Pelita sengaja tidak dipasang di atas ‘tembuni’ palsu tersebut. Kalau dinyalakan, mungkin perangkap tidak mengena.

Malam itu, Wak Mingan dan ayah menunggu di dalam rumah. Semua yang ada di dalam rumah senyap dan berdiam diri. Kalau nak bercakap pun hanya berbisik sahaja. Jika hendak ke sana ke mari di dalam rumah, perlu berjalan perlahan-lahan agar lantai kayu tidak berbunyi.

Semua pelita di dalam rumah Yai dimatikan kecuali di ruang tamu. Suasana itu seolah-olah menggambarkan semua yang ada di rumah tersebut sudah tidur.

Malam itu, tiba-tiba terdengar bunyi seperti orang mendengus dan menggali sesuatu di kolong rumah. Sangkaan Wak Mingan memang tepat. Dari celah-celah lantai rumah, dia menghendap ke bawah. Dalam kesamaran malam, apa yang dilihatnya adalah susuk tubuh ‘ayah’. Keadaan itu sama dengan apa yang dia nampak sebelumnya.

Bukan hanya Wak Mingan, ayah dan Yai juga sama-sama melihat kelibat ‘ayah’ di bawah kolong sedang menggali ‘tembuni’ yang Wak Mingan tanam.

Wak Mingan kemudian mengarahkan ayah supaya melaungkan azan. Laungan azan dari ayah lebih afdal kerana kehilangan tembuni sebelum ini ada kena-mengena dengan ayah.

Allahuakbar… Allahuakbaaaaarrrr!!!

Sebaik kalimah suci itu dilaungkan, makhluk yang sedang asyik mengorek ‘tembuni’ itu menjerit seolah-olah kepanasan. Jeritannya sambung-menyambung dengan suara azan yang ayah kumandangkan.

Sepanjang laungan itu, keadaan ruang tamu rumah menjadi agak terang. Cahaya terang itu datangnya daripada makhluk itu yang seakan-akan terbakar.  Habis azan, makhluk itu terus berlari ke arah belakang rumah dan ghaib.

Wak Mingan turun ke kolong untuk melihat kesan kejadian tadi. Berbekalkan beberapa lampu pelita dan lampu suluh, Wak Mingan dan ahli keluarga ayah dapat melihat kesan-kesan tanah tempat dia menanam ‘tembuni’ itu telah digali. Periuk tanah telah terkeluar dari tempatnya. Penutupnya terbuka, namun isinya masih ada. Makhluk itu tidak sempat mengambil dan makan tembuni perut ayam itu.

Begitulah kisah yang pernah arwah ayah ceritakan pada aku. Ayah selalu berpesan pada kami adik-beradik, jika menanam tali pusat, uri, dan tembuni anak, pastikan tanah di atas tembuni yang ditanam itu dipasangkan pelita.

Selain binatang buas tidak mengacau atau menggali, dengan berbekalkan ayat-ayat suci al-Quran, insya-Allah dapat menghindar daripada diganggu makhluk halus. Sebab itu bila aku dah kahwin dan isteri bersalin, aku sentiasa amalkan pesan ayah itu.

Benar, bukan kerana cahaya pelita yang menghalau makhluk halus. Semuanya kuasa Allah. Kita hanya berikhtiar sebelum menyerahkannya kepada Yang Maha Kuasa. Korang nak percaya atau tidak, terserah.

Cuma sampai sekarang aku tertanya-tanya, makhluk apa yang mengorek tembuni kakak aku tu? Dan kenapa ia menyerupai ayah?

**CATATAN : Mphd Hafizul, Selangor.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen