KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi untuk terus menyokong dan memperkasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekali gus memberi isyarat untuk Ahli Parlimen Bera itu menjadi Presiden parti.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berpendapat, keputusan dilakukan MKT itu memberi isyarat bahawa tradisi UMNO akan terus dipertahankan.

Dalam UMNO, kata beliau, seseorang yang diangkat sebagai Perdana Menteri akan seterusnya diberi ‘pengesahan’ oleh parti untuk mengambil alih kepemimpinan parti sebagai Presiden.

Menurut Annuar, pemakluman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mesyuarat MKT malam tadi, adalah satu manifestasi kebijaksanaan.

“Mesyuarat MKT jelas membuat endorsement bahawa Ismail Sabri akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen Ke-14 pada tahun 2023.

“Bukan itu sahaja, MKT turut menunjukkan isyarat bahawa Ismail Sabri adalah poster boy Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekali gus merupakan calon Perdana Menteri daripada UMNO pasca PRU-15 nanti.

“Saya percaya inilah sebahagian daripada sumber kekuatan parti, peralihan kepimpinan utama sentiasa berlaku secara berhemah dan penuh kebijaksanaan.

“Yang mengganti terus memperkasa parti, yang diganti pula tetap dipandang tinggi. Bak kata pepatah Melayu, patah tumbuh hilang berganti,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca artikel berkaitan: MKT UMNO terus sokong Ismail Sabri sebagai PM

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia turut percaya MKT UMNO tidak akan berlengah untuk segera mengadakan pemilihan dalam keadaan mengizinkan sekarang.

Katanya, tahun ini merupakan tahun tamat tempoh memegang jawatan bagi semua ahli MKT selepas tamat tempoh maksimum 18 bulan penangguhan ekoran COVID-19.

Lagi pun, beliau berkata, pemilihan jawatan dalam parti sentiasa menghasilkan kepimpinan yang semakin mantap serta saf pimpinan yang mempunyai keabsahan lebih kukuh dengan mendapat mandat daripada akar umbi.

“Meskipun pemilihan dibenarkan dalam UMNO, tidak semestinya pula akan berlaku perebutan.

“Malah, satu daripada amalan yang sering dilakukan dalam UMNO semua peringkat adalah ‘baton’ kepimpinan bertukar tangan secara harmoni, konsensus dan penuh semangat kesetiakawanan serta mendahulukan kepentingan perjuangan parti,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram