Pihak berkuasa membuka kertas siasatan berhubung dakwaan sijil digital vaksin palsu. GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

SEPASANG suami isteri yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Melaka ditahan polis kerana menggunakan sijil vaksinasi digital COVID-19 disyaki palsu menerusi aplikasi MySejahtera, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada kira-kira jam 4 petang.

Kata beliau, pihaknya turut menahan rakan sekerja lelaki mereka berusia 58 tahun yang disyaki orang tengah bagi menguruskan penjualan dan proses muat turun sijil tersebut.

“Pada 30 Disember lalu, status vaksinasi lengkap dua dos pasangan suami isteri berkenaan diragui palsu oleh pengarah jabatan terlibat sebelum mengarahkan seorang pegawai tadbirnya di pejabat khidmat pengurusan menyemak ketulenan sijil tersebut.

“Pada keesokan hari, pegawai tadbir itu telah menghantar surat kepada Klinik Kesihatan (KK) Rembia untuk membuat semakan dan pengesahan status berkenaan,

“Maklum balas daripada KK Rembia pada 5 Januari lepas mengatakan pasangan berkenaan tidak menerima vaksin daripada klinik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arshad, siasatan awal mendapati pasangan tersebut mendapatkan sijil vaksinasi digital berstatus dua dos lengkap berkenaan daripada rakan sekerjanya itu pada harga RM500 seorang.

Katanya, sijil berkenaan dibeli mereka kerana ia merupakan prasyarat untuk mendapatkan bantuan khas kewangan atau bonus penjawat awam.

Baca: Sijil vaksin tanpa suntikan, enam ‘ejen’ di Terengganu direman

JSJ, JSJK diarah kesan sindiket sijil vaksin palsu – IGP

Selain itu, ujar beliau, ia bagi mengelak mereka dikenakan tindakan oleh jabatan kerana enggan divaksin serta memudahkan memasuki premis perniagaan.

Arshad berkata, semakan mendapati suami isteri itu pernah membuat laporan polis pada pertengahan tahun lepas kerana enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Siasatan ke atas lelaki yang merupakan orang tengah itu mendapati suspek memuat turun sijil vaksinasi dua dos lengkap itu daripada seorang lagi suspek digelar sebagai ‘VNilai’ dan masih bebas.

“Polis turut merampas telefon bimbit milik ketiga-tiga mereka dan kesemuanya direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram